KDN boleh saman Ku Li dan Mahathir dulu, kerana mereka juga sentuh isu Perak

Oleh TMJ

PAS mencabar Menteri Keselamatan Dalam Negeri (KDN) Dato' Seri Syed Hamid Albar menyaman bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) yang turut mempertikaikan tindakan nekad Sultan Azlan Shah melantik Dato' Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak menggantikan Dato' Seri Mohamad Nizar Jamaluddin.

Setiausaha Agung PAS Pusat, Dato' Kamaruddin Jaffar ketika mengulas larangan isu pembunuhan Altantunya dan menegaskan tindakan Tuanku Sultan Perak melantik Dr Zamry sebagai Menteri Besar, beliau menyifatkan larangan itu bertujuan untuk melindungi Dato' Seri Najib Tun Razak, yang baru sahaja dipilih menjadi Presiden Umno 27 Mac lalu.

"Kita (PAS) tidak faham dengan arahan Syed Hamid itu, apakah beliau cuba untuk menunjukkan kesetiaan kepada Najib agar tidak digugurkan dari kabinet?



"Jika ianya subjudis kenapa beliau tidak menyaman Dr Mahathir dan Ku Li yang menulis dalam blog mereka mempertikaikan perlantikan Dato' Dr Zambry sebagai Menteri Besar," ujar beliau.

Larangan KDN itu tegas Kamaruddin mengambarkan ketakutan pihak BN untuk berhadapan dengan rakyat yang turut mempersoalkan perlantikan Dr Zambry dan tetap mengaitkan Dato' Seri Najib dengan pembunuhan Altantunya.

Kamaruddin juga menegaskan selepas mengantung Harakah dan Suara Keadilan, KDN berusaha untuk menyekat rakyat memperolehi maklumat melalui ceramah yang diadakan menjelang pilihan raya kecil 7 April nanti.

KDN mengeluarkan larangan mengejut semalam kepada parti-parti bertanding di tiga kawasan pilihan raya kecil agar tidak membangkitkan isu pembunuhan Altantunya Shaariibuu dan keputusan kontroversi Tuanku Sultan Perak.

Syed Hamid Albar mengesahkan arahan terbaru itu - setelah masuk hari ketiga berkempen - bagi kerusi parlimen Bukit Gantang di Perak, DUN Bukit Selambau di Kedah dan DUN Batang Ai di Sarawak.

Kematian tragis wanita muda Mongolia yang sarat kontroversi itu sering dikaitkan dengan bakal Perdana Menteri Dato' Seri Najib Razak dan isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor.

No comments

Powered by Blogger.