lagi ulasan mengenai kekalahan memalukan umno dan BN!


DI SINI TIADA KUBUR
UMNO
Oleh Muhammad Azli Shukri
Maafkan saya jika saya terpaksa berkata daripada hati nurani saya sendiri, tiada lagi kata berlapik dan tiada lagi kata-kata manis untuk dihidangkan tatkala melihat kekalahan UMNO/BN di Bukit Gantang dan di Bukit Selambau. Walaupun, saya sudah mendapat maklumat dua minggu lebih awal bahawa UMNO/BN akan tewas dan kecundang di dua buah kerusi tersebut, namun demikian saya cuba menyakinkan diri saya sendiri bahawa, harapan untuk menang masih ada di kedua-dua buah kerusi itu sebagai hadiah atas pelantikan DS Najib sebagai PM yang baru.


Analisis ringkas saya pada masa ini berkenaan kekalahan UMNO/BN di Bukit Gantang dan di Bukit Selambau - menjelaskan bahawa aliran pengundi muda masih tetap memihak kepada pembangkang. Maka, di sini timbul persoalan apakah benar Khairy, selaku Ketua Pemuda UMNO yang baru telah gagal menarik minat pengundi muda untuk menyebelahi UMNO dalam pilihan raya kecil tersebut? Dan apakah faktor Tun Mahathir turut sama kecundang dalam usaha menarik minat pengundi atas pagar untuk mengundi BN pada kali ini? Malah, jauh daripada itu, apakah segala bantuan dan janji pembangunan yang ditaburkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO masih gagal menarik minat pengundi Cina untuk terus memihak kepada BN?



Adalah jelas bahawa pengundi Cina masih tetap menolak BN/UMNO dan mereka merasakan bahawa PAS masih boleh diperkudakan demi mencapai politik "tertentu" yang selama ini mereka idam-idamkan. Transformasi dan reformasi yang dijanjikan oleh DS Najib masih ditunggu dan dinantikan. Jika DS Najib benar-benar mampu melakukan banyak perubahan, dan tidak memilih pemimpin yang korup dalam barisan kabinetnya nanti, Insyaallah UMNO boleh kuat kembali. Tetapi, jika tidak, maka UMNO mungkin hanya tingga nama dan sejarah sahaja.



Di bawah ini saya senaraikan sebab-musabab mengapa UMNO tewas di kedua-dua kerusi parlimen tersebut, sama-samalah kita mengambil iktibar dan pengajaran. Wallahualam


1. Kempen menawarkan bantuan dan pembangunan hanya memakan diri sendiri. Terbukti segala bantuan wang ringgit dan pembangunan akan tetap diambil oleh rakyat, tetapi undi tidak mereka berikan kepada BN/UMNO.


2. Pengundi muda masih tetap mahu mengundi pembangkang, walaupun mereka tahu bahawa pembangkang bukanlah parti yang kuat dan kukuh. Hal ini berlaku adalah kerana UMNO kurang memahami jiwa dan hati nurani mereka.

3. UMNO tiada tokoh muda yang benar-benar utuh dan boleh dijadikan role model - Khairy hanyalah anak muda yang dibenci dan di "cop" sebagai pengamal politik wang oleh rakyat, malah imej tersebut makin tersemat dalam hati masyarakat setelah beliau memenangi Ketua Pemuda UMNO baru-baru ini. Jadi beliau tetap dijadikan sebagai liabiliti.


4. Isu penderhakaan Nizar akhirnya memakan diri sendiri, rakyat tidak gemar isu tersebut diulang berkali-kali, malah isu itu juga terbukti sebagai isu syok sendiri bagi BN/UMNO.


5. Nizar dilihat sebagai orang yang teraniaya dan dizalimi, manakala isu bahawa beliau bukan penduduk tempatan sama sekali tidak mempengaruhi pengundi di Bukit Gantang.



6. Kemenangan Khairy sebagai Ketua Pemuda UMNO tetap membawa kesan secara langsung kepada persepsi rakyat, bahawa UMNO masih tidak serius mahu berubah. Dan apakah yang akan terjadi sekiranya Khairy dilantik oleh DS Najib sebagai sebagai salah seorang Timbalan Menteri di sesebuah kementerian pula? Apakah rakyat dan ahli UMNO akar umbi berupaya menerimananya?


7. Strategi politik kotor pembangkang memburuk-burukan peribadi calon BN sudah semakin mendapat tempat dalam kalangan pengundi, malah mereka dengan mudah pula mempercayainya.


8. Yang sedang berlaku kini adalah politik persepsi dan emosi - rakyat lebih gemar mendengar isu politik persepsi dan emosi yang dimainkan oleh pembangkang berbandingan dengan isu realiti dan janji manis yang dicanang oleh BN/UMNO.


9. Pengundi telah lebih awal membuat keputusan untuk memilih siapa yang mereka benar-benar suka dan yakin.


10. Pengundi tidak lagi memperdulikan apa-apa pun lagi, yang penting BN/UMNO mesti dikalahkan - tiada alasan.


11. Pendedahan ucapan Anwar Ibrahim pada tahun 1995 di Sabah, yang diulang berkali-kali di kaca televisyen, hakikatnya tidak berupaya membunuh imej peribadinya, malah rakyat semakin muak dengan cara kempen tersebut. Menurut mereka, BN/UMNO cuba meniru kempen ala-PAS yang pernah mereka lakukan kepada Tengku Razaliegh selepas beliau membubarkan S46 dan kembali menyertai UMNO.


12. Rakyat mempunyai persepsi yang sangat negatif kepada BN/UMNO walaupun BN/UMNO telah insaf atau mahu berubah. Menurut rakyat, BN/UMNO tidak akan berubah, malah masih tetap menerima pemimpin yang jelas terlibat dengan rasuah.

http://azlishukri.blogspot.com/

No comments

Powered by Blogger.