Pengumuman Terbaru Najib, Saya Tetap Tidak Seronok

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini mengumumkan bahawa pihak kerajaan akan menarik balik larangan penerbitan sementara bagi dua surat khabar serta membebaskan 13 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berkuat kuasa serta-merta. Proses kajian semula terhadap Akta ISA akan juga dimulakan”.

* * * * * * * *

Demikian antara isi ucapan pertama Najib selepas dilantik menjadi PM (baca sini).

Perasaan saya masih belum berubah iaitu, saya ‘tidak seronok’ sangat dengan pengumuman ini sebagaimana saya tidak seronok Najib jadi PM (baca sini).

Bukan tidak seronok dengan ‘pembebasan dua surat khabar’ itu dan pembebasan tahanan ISA, tetapi tidak seronok dengan suasana dan ketika pengumuman ini dibuat. Saya tidak terkejut dan tidak seronok sangat pun andainya sehari dua lagi diumumkan pula PPSMI dimansuhkan.

Saya memang sentiasa melatih diri saya untuk sentiasa melihat sesuatu dengan permulaan yang positif. Tetapi maaf, saya tidak mampu untuk melihat tindakan Najib ini dengan permulaan yang positif. Mengapa saya negatif?

Kerana saya rasa pengumuman ini ada agenda tersirat. Apa agenda tersirat itu?

Pertama, mengapa beberapa hari sebelum ini dua akhbar itu digantung? Kedua-duanya digantung ketika PM sekarang adalah TPM. Itu ibarat, menyuruh orang lain korek lubang untuk dia menimbusnya kemudian supaya orang berkata, “Bagusnya dia tolong timbuskan lubang itu”. Mengapa tidak dilarang dan dihalang lebih awal? TPM tiada kuasa? Kuasa Hamid Albar lebih besar daripada Najib?

Kedua, mengapa Najib menyimpan isu ISA sehingga ke hari ini, hari dia mula jadi PM? Najib tahu penderitaan tahanan ISA dan keluarga mereka. Najib tahu semenjak sekian lama orang membantah ISA.

Dahulu dia termasuk orang yang mempertahankan undang-undang jakun ini. Hari ini tiba-tiba dia menjadi baik benar sehingga semuanya sanggup dibebaskan serentak. Dahulu mereka ditahan kerana mengancam keselamatan negara, adakah hari ini mereka yang bakal dibebaskan itu tidak lagi mengancam keselamatan?

Dahulu ditegaskan bahawa ISA diperlukan untuk menjamin ketenteraman awam, adakah kini ketenteraman awam tidak perlu dijamin lagi dengan undang-undang itu? Atau, ada undang-undang lain yang bakal digubal seganas ISA?

Ketiga, mengapa ketika PRK dua bukit dan satu batang sedang berlangsung? Saya faham, pengumuman ini akan sedikit sebanyak menjejaskan peluang PAS dan PKR menang di tempat masing-masing. Namun itu bukan isunya. Isunya ialah, adakah kalau tidak ada PRK, secepat itu Najib mengumumkannya?

Ya, Najib cuba menampilkan semenjak awal seolah-olah dia lebih baik daripada Abdullah. Sukar dilupakan, Abdullah juga pada peringkat awalnya adalah baik malah lebih baik daripada Najib. Tetapi dia melakukan onar selepas itu. Adakah Najib juga menunjuk baik dahulu dan beronar kemudian?

Terpulang kepada orang lain, saya mengambil sikap berhati-hati dan berwaspada. Api semasa baru menyala memang tidak berbahaya, tetapi awas bila dia semakin marak. Anak harimau semasa belum bertaring memang jinak, tetapi awas bila ngaumannya semakin nyaring. Ular sawa semasa anak-anak memang membelit manja, tetapi awas bila tulang-belulangnya semakin kuat.

Ini sikap dan pendirian saya. Orang lain, apa sikap dan pendirian mereka, itu mereka punya pasal.

http://bongkarsauh.blogspot.com/

No comments

Powered by Blogger.