Saya Ingin Bebas..macam razak baginda? macam najib? atau macam Ros?

Oleh Zalina Maizan Ngah

KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- "Jika ditanya, saya memang ingin bebas daripada tuduhan ini," kata Cif Inspektor Azilah Hadri penuh harapan walaupun menerima hakikat dia bakal berhadapan dengan hukuman mati esok (Khamis) sekiranya Mahkamah Tinggi membuat keputusan sebaliknya.

Azilah yang didakwa membunuh wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu tiga tahun lalu menyatakan demikian kepada Bernama pada hari terakhir perbicaraan membela diri di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Februari lepas.

Kata-katanya itu disambut dengan senyuman oleh tunangnya Nur Azila Baharuddin yang sentiasa berada di sisi memberi sokongan. Dan menurut Nur Azila, sekiranya impian Azilah menjadi kenyataan, mereka akan berkahwin secepat mungkin.

Nur Azila berkata dia amat berdebar dan takut untuk berhadapan dengan kenyataan esok.

Koperal Sirul Azhar Umar, tertuduh kedua dalam kes ini, yang lebih pendiam berbanding Azilah, menyatakan perasaan yang sama apabila ditanya. Wajah seriusnya tiba-tiba berubah dan sambil tersenyum dia menjawab :"Insyaallah ada harapan."

Kedua-dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK) ini selesai memberi keterangan membela diri Februari lalu tanpa memanggil saksi lain selain mereka sendiri.

Azilah, 33, yang diwakili dua peguam, Datuk Hazman Ahmad dan J. Kuldeep Kumar membela diri dengan memberi keterangan di kandang saksi manakala Sirul Azhar, 37, yang diwakili peguam Kamarul Hisham Kamaruddin, Hasnal Redzua Marican dan Ahmad Zaidi Zainal memilih untuk membacakan keterangan bertulis di kandang tertuduh.

PENDAKWAAN TIGA TAHUN LALU

Dalam kes yang pernah menjadi tumpuan media tempatan dan antarabangsa ini, kedua-dua mereka didakwa membunuh Altantuya, berusia 28 tahun, di antara Lot 12843 dan Lot 16735 Mukim Bukit Raja dekat sini antara pukul 10 malam, 19 Okt dan 1 pagi, 20 Okt 2006.

Sebelum ini, mereka dibicarakan bersama-sama Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia (MSRC), Abdul Razak Abdullah Baginda, 48, yang dituduh bersubahat membunuh Altantuya.

Bagaimanapun pada 31 Okt 2008, penganalisis politik itu dilepaskan dan dibebaskan tanpa perlu membela diri setelah pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen penting dalam pertuduhan bersubahat.

Ketiadaan Abdul Razak menyebabkan perhatian masyarakat kian pudar terhadap perbicaraan kes ini dan ramai yang tidak sedar dua lagi tertuduh hanya baru tamat membela diri dan nasib mereka akan ditentukan esok.

Media juga sejak itu tidak lagi memenuhi kamar mahkamah dan tiada lagi sebarang sekatan polis untuk mengehadkan mereka yang membuat liputan, kerana terlalu ramai, seperti mana peringkat awal dahulu.

Abdul Razak kini melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) di Universiti Oxford, United Kingdom.

KETEGASAN HUJAH PENDAKWAAN

Sebagai tertuduh, Azilah dan Sirul Azhar yang mengaku tidak bersalah sudah berhujah dan mengharapkan pembebasan, tetapi bagi pihak pendakwaan, kedua-duanya ialah orang yang benar-benar terlibat dalam pembunuhan Altantuya hingga jasadnya berkecai akibat dibom.

Pendakwaan yang dibarisi Timbalan Pendakwa Raya Tun Abdul Majid Tun Hamzah, Noorin Badaruddin, Manoj Kurup dan Hanim Rashid menegaskan di dalam hujahan mereka bahawa Azilah dan Sirul Azhar telah merancang pembunuhan Altantuya.

Berdasarkan keterangan saksi semasa kes pendakwaan, bom yang digunakan untuk meletupkan mayat Altantuya, berkemungkinan diletakkan ke dalam mulut wanita itu.

Hujahan Manoj di akhir kes pembelaan juga berkata kedua-dua tertuduh mempunyai motif untuk membunuh dan jenayah yang dilakukan telah dirancang lebih awal.

Manoj berkata beberapa keterangan keadaan yang cuba dibuktikan oleh pihak pendakwaan kekal tidak disangkal, tidak dijelaskan dan tidak dijawab oleh kedua-dua tertuduh.

"Kekukuhan gabungan beberapa keterangan itu apabila dipintal telah membentuk dua utas tali, cukup kuat untuk menggantung setiap tertuduh...

"Pihak pendakwaan telah membuktikan keraguan melampaui munasabah akan kesalahan kedua-dua tertuduh, mewajarkan sabitan terhadap pertuduhan membunuh yang dilakukan atas niat bersama kedua-dua mereka," katanya.

PEMBELAAN DI AKHIR KES

Azilah yang mula memberi keterangan pada 15 Jan lalu , berkata dia tidak mempunyai sebarang motif untuk membunuh dan melenyapkan wanita itu sebaliknya tujuan dia berjumpa dengannya (Altantuya) hanya untuk menasihati Altantuya secara lembut supaya tidak mengugut Abdul Razak dan tidak membuat kecoh di rumah penganalisis politik itu.

Azilah juga memberitahu mahkamah dia diarahkan oleh seorang anggota polis atasan, DSP Musa Safri untuk membantu Abdul Razak dan tidak mungkin melakukan perbuatan "bodoh" (membunuh) itu apatah lagi dia adalah anggota polis.

Pembelaan Sirul Azhar pula amat mengejutkan kerana dia bukan sahaja dilihat mengalirkan air mata, malah kenyataannya bahawa dia sekadar kambing hitam yang harus dikorbankan, amat menyentuh perasaan.

"Saya tidak mempunyai sebarang sebab untuk mencederakan apatah lagi mengambil nyawa mangsa dengan begitu kejam. Saya merayu kepada mahkamah yang kini berada di dalam kedudukan dan mempunyai kuasa untuk menentukan hidup dan mati saya, agar tidak menghukum saya sekaligus menyempurnakan perencanaan mereka terhadap saya," katanya pada 4 Feb lalu sambil membacakan nota bertulis.

KEPUTUSAN YANG DITUNGGU-TUNGGU

Kes ini bukan sahaja dilabelkan sebagai perbicaraan yang paling panjang (159 hari) dengan mengemukakan 84 orang saksi di peringkat pendakwaan dan dua saksi (tertuduh sahaja) ketika pembelaan, tetapi merupakan kes utama mahkamah selama dua tahun (sebelum Abdul Razak bebas).

Mengikut rekod, Azilah ditahan di penjara Sungai Buloh selama 891 hari manakala Sirul Azhar ditahan selama 895 hari.

Peranan dua anggota UTK ini dalam pembunuhan Altantuya memang menjadi perdebatan dengan pelbagai tanggapan timbul, tetapi apapun keputusan mahkamah akan menentukan sama ada mereka akan bebas seperti mana Abdul Razak, atau berhadapan dengan hukuman gantung sampai mati.

-- BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.