cerita menteri dan timbalan dari parti kompenan masing-masing

KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Parti komponen Barisan Nasional (BN) lebih kurang mengekalkan kuota masing-masing dalam senarai baru Kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam senarai tersebut yang mengandungi 28 menteri, kurang empat daripada 32 dalam Kabinet sebelum ini, UMNO mempunyai 19 menteri -- kurang tiga daripada 22 sebelum ini.

MCA, parti komponen kedua terbesar, mengekalkan empat jawatan menteri manakala Gerakan mendapat semula kedudukan satu jawatan menteri setelah melepaskan jawatan tunggal menteri ekoran kekalahan teruk pada pilihan raya umum tahun lepas.

MCA pula menerima tambahan satu jawatan timbalan menteri, dengan meningkatkan jumlah kepada tujuh.

Parti MIC, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Pertubuhan Bersatu Pasok Momogun Kadazandusun Murut (UPKO) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) masing-masing mengekalkan satu jawatan menteri.

SUPP juga turut mengekalkan dua jawatan timbalan menteri.

Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) juga mengekalkan dua jawatan timbalan menteri manakala Parti Progresif Penduduk (PPP) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) turut mempertahankan jawatan tunggal timbalan menteri.

UMNO mempunyai lima muka baru dalam senarai Kabinet dan mereka adalah

Mej Jen (B) Datuk Jamil Khir Baharom (Menteri di Jabatan Perdana Menteri), Datuk Ahmad Husni Hanadzlah (Menteri Kewangan Kedua), Datuk Anifah Aman (Menteri Luar), Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (Menteri Wilayah Persekutuan), Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Shahrizat Jalil (yang kembali semula sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat).

Bagi MCA, presidennya Datuk Seri Ong Tee Keat mengekalkan jawatan Menteri Pengangkutan dan naib presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai terus menyandang jawatan Menteri Kesihatan.

Naib presiden Datuk Kong Cho Ha, yang merupakan timbalan menteri kewangan, telah dinaikkan pangkat sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, mengambilalih daripada Datuk Seri Ong Ka Chuan yang telah digugurkan.

Seorang lagi naib presiden Datuk Dr Ng Yen Yen, yang memegang jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, telah diubah portfolio sebagai Menteri Pelancongan, menggantikan Datuk Seri Azalina Othman Said, yang telah digugurkan.

Antara timbalan menteri dari MCA ialah Ketua Wanita Perak Senator Heng Seai Ki (Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan), Datuk Lee Chee Leong (Kementerian Luar) dan Ketua Wanita Datuk Paduka Chew Mei Fun sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Bagi MIC pula, kuota satu jawatan menteri dan dua timbalan menteri dikekalkan. Setiausaha Agungnya Datuk Dr S. Subramaniam kekal jawatan Menteri Sumber Manusia, Ketua Penerangan Datuk M. Saravanan masih memegang jawatan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan bendahari Datuk S.K. Devamany kekal sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon telah dilantik sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri dengan memegang tanggungjawab Hal Ehwal Perpaduan dan Pengurusan Prestasi.

Dua timbalan menteri dari Gerakan -- Datuk Tan Lian Hoe dan Senator A. Kohilan Pillay -- telah dikekalkan tetapi dengan memegang portfolio berbeza.

Kohilan Pillay telah ditukar dari Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi ke Kementerian Luar manakala Tan dari Kementerian Penerangan ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Dalam barisan Kabinet sebelum ini, Gerakan hanya mempunyai dua jawatan timbalan menteri kerana Tsu Koon telah tewas pada pilihan raya umum tahun lepas.

Wakil dari PBB adalah naib presiden kanan II, Datuk Douglas Uggah Embas (Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar) Ketua Pemuda PBB Datuk Fadilah Yusof (Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi) dan Datuk Sulaiman Taib (Timbalan Menteri Pelancongan).

SUPP diwakili oleh Datuk Peter Chin Fah Kui (Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air) dan Datuk Robert Lau Hoi Chew (Timbalan Menteri Pengangkutan) dan Datuk Yong Khoon Seng (Timbalan Menteri Kerja Raya).

Sabah mempunyai empat menteri berbanding tiga sebelum ini dengan Datuk Anifah Aman dilantik sebagai Menteri Luar.

Menteri lain dari negeri itu ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Maximus Ongkili (PBS), yang kekal portfolio, Presiden UPKO Tan Sri Bernard Dompok (Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi) dan naib presiden UMNO yang baru Datuk Shafie Apdal, yang ditukarkan ke Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

PBRS diwakili oleh presidennya Tan Sri Joseph Kurup (Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar), Parti Liberal Demokratik (LDP) oleh presidennya Datuk Liew Vui Keong (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri) dan PPP oleh T. Murugiah sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri.

PRS diwakili oleh timbalan presidennya Datuk Joseph Entulu Beluan (Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah) dan Ketua Penerangan Datuk Joseph Salang Gandum (Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan).

SPDP diwakili naib presiden Jelaing Mersat (Timbalan Menteri Dalam Negeri), dan naib presiden kanan Datuk Jacob Dungau Sagan sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

-- BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.