KAFA Mungkin Tarik Diri Dari Liga Malaysia

KOTA BAHARU, 10 April (Bernama) -- Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) berkemungkinan besar menarik diri daripada saingan Liga Malaysia jika Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tetap dengan hukuman melarang pasukan itu daripada beraksi di gelanggang sendiri sehingga penghujung musim ini.

Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa berkata kantung persatuan itu diisi dengan kutipan tiket semata-mata dan sekiranya hukuman Kelantan beraksi di gelanggang berkecuali kekal, persatuan itu dijangka menanggung kerugian mencecah RM2 juta.

"Wang itulah yang digunakan KAFA untuk menampung segala perbelanjaan termasuk pembayaran gaji pemain serta pegawai pasukan berkenaan. Bagi setiap kali perlawanan di gelanggang sendiri, kita mendapat kutipan di antara RM100,000 sehingga RM200,000. Kita akan terlepas kira-kira 15 perlawanan sepanjang musim ini termasuk dua perlawanan persahabatan antarabangsa.

"Jika dihitung, kita akan mengalami kerugian sebanyak RM2 juta, inilah nyawa bagi kita dan jika talian nyawa ini ditarik, kita akan mengalami kesukaran. Mungkin ada pihak yang hendak lihat KAFA mati," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melawat Muhammad Huzaifah Mohd Noor, 18, pelajar yang buta mata kanan rentetan rusuhan penyokong bola sepak Kelantan di luar Stadium Sultan Muhammed IV dekat sini, malam Selasa lalu. Muhammad Huzaifah kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut melawat pelajar itu di hospital berkenaan.

FAM sebelum ini mendenda KAFA lebih RM100,000 dengan Kelantan dilarang beraksi di Stadium Sultan Muhammad IV sehingga 31 Disember ini ekoran tindakan penyokongnya yang merusuh pada perlawanan separuh akhir Piala FA menentang Negeri Sembilan. Kelantan tewas 0-1 kepada pasukan pelawat pada perlawanan itu.

Menurut Annuar, KAFA tidak akan merayu kepada FAM tetapi beliau akan memberikan penjelasan lengkap keadaan sebenar yang berlaku pada mesyuarat majlis badan induk itu esok.

"Setakat ini tidak berbangkit soal merayu, FAM sudah membuat keputusan tidak ada lagi perlawanan di Kelantan sehingga 31 Disember ini, tahniahlah kepada FAM kerana cepat membuat keputusan," katanya sambil menjelaskan beliau tidak pernah dipanggil termasuk oleh FAM untuk sebarang kenyataan berhubung kejadian itu sebelum ini sedangkan beliau pada masa itu turut berada di tempat kejadian.

Mengulas mengenai perlawanan Liga Super menentang Selangor di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini, Annuar berkata pemain telah diminta supaya menumpukan perhatian kepada perlawanan tersebut seperti biasa.

"Satu jawatankuasa kerja dengan kerjasama Perbadanan Stadium Nasional telah dibentuk untuk memastikan ia berlangsung dengan baik, ini tuah Kelantan, hilang stadium kecil dapat pula stadium besar," katanya.

Beliau turut menyeru peminat kepada kedua-dua pasukan tersebut supaya hadir beramai-ramai tanpa rasa bimbang dan ragu kemungkinan kekecohan sama berulang.



-- BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.