tugas berat menanti najib razak!

PADA hari Jumaat 3 April bersamaan 7 Rabiulakhir (1430) kepemimpinan negara bertukar tangan daripada Abdullah Ahmad Badawi kepada Mohd Najib Abdul Razak.

Beberapa tahun lalu, seorang penyokong tegar dan kawan akrab Abdullah memberitahu sebuah seminar di Universiti Malaya bahawa sebagai pengamal tasawuf, dia nampak “nur” Abdullah.

Katanya, sesiapapun yang mengamalkan tasawuf pasti nampak cahaya itu dan sedar bahawa apa sahaja yang berlaku kepada Abdullah atau dilakukannya mempunyai petunjuk dan petanda yang jelas dan istimewa.

Lantas dia menyebut tarikh lahir Abdullah, tarikh pelantikannya sebagai Perdana hatta tarikh kepulangan Datin Seri Endon Mahmood ke rahmatullah sebagai membawa erti bercahaya.

Saya agak terperanjat kerana sepanjang yang saya tahu dan saya difahamkan, seorang pengamal tasawuf selalunya tidak menghebahkan hal itu apatah lagi berbangga dengan pengetahuannya alam ghaib.

Umumnya tasawuf atau sufi difahami sebagai dimensi dalaman atau roh yang tersembunyi, ghaib dan penuh misteri.

Tidak seperti sahabat Abdullah yang mengaku mengamalkan tasawuf itu, saya tidak berani membuat sebarang kesimpulan mengenai sama wujud atau tidak “nur” atau cahaya pada pemilihan tarikh 3 Mac itu.

Yang saya berani kata, doa dan harapan kita semua adalah agar peralihan kuasa itu akan membawa kebaikan. Yang tidak mahu kebaikan berlaku hanyalah penentang tegar Mohd Najib dan kerajaan yang dipimpinnya.

Di Malaysia ini, bukan orang Islam sahaja yang berdoa. Semua rakyat dan penduduk Malaysia yang beragama dan berkepercayaan berdoa.

Saya ingat lagi pada tahun 1971, apabila doa makan sebelum diamalkan secara meluas oleh Muslim di Malaysia, orang Kristian sudah pun mengamalkan lafaz “grace” sebelum makan yang berbunyi lebih kurang begini:

“Bless, O Lord, this food for thy use, and make us ever mindful of the wants and needs of others. Amen.”

Waktu itu saya menumpang di rumah seorang paderi Anglican di pekan kecil di New Zealand bernama Levin. Jadi, manakala mereka berdoa atas nama Tuhan mereka, saya berdoa atas nama Allah.

Saya juga pernah menumpang di perkampungan Maori bernama Jerusalem di tebing Sungai Wanganui yang didiami ramai pengikut hippie. Saya ke situ untuk mengenali dan menemu ramah penyair New Zealand yang terkenal James K Baxter.

Jadi kita semua, dalam agama dan kepercayaan masing-masing, sentiasa berdoa agar bumi kita ini terus makmur, aman dan damai.

Dengan suasana ekonomi dunia yang sangat muram dan ramalan ekonomi Malaysia yang negatif, tugas dan tanggungjawab Mohd Najid sangatlah berat.

Tidak seperti Abdullah yang mengambil alih ketika ekonomi teguh dan politik negara stabil, Mohd Najib mewarisi ekonomi yang lemah dan politik yang kucar-kacir.

Kalau Mohd Najib berjaya menstabilkan ekonomi, mengurangkan kesan kemelesetan ke atas rakyat jelata dan mengembalikan kewarasan politik, dia akan dikenang sebagai penyelamat.

Tidak ada Perdana Menteri sebelum ini yang mengambil alih pemerintahan dalam suasana yang serba tidak kena seperti yang akan terbeban di atas baju Mohd Najib.

Yang pasti adalah setiap gerak-geri, tindak-tanduk dan amalan Mohd Najib akan diteliti, dianalisis dan diadili, khasnya pemilihan anggota Kabinetnya nanti.

Era “kekebalan” Perdana Menteri, anak-bini, menantu, suku sakat, kroni dan orang senegeri sudah berlalu. Turut berlalu adalah era kekuasaan luar bidang dan manipulasi apa yang dikenalin sebagai "Budak Tingkat Empat."

http://kadirjasin.blogspot.com/

No comments

Powered by Blogger.