BN Mula Gelabah! 1Malaysia Mulai Gembira! MCA Hancur.. UMNO Retak!

Tindakan MCA beri implikasi terhadap BN: Shahrizat

KUALA LUMPUR: Barisan kepimpinan MCA hari ini diingatkan bahawa apa saja tindakan parti itu akan memberikan implikasi terhadap Barisan Nasional (BN) secara keseluruhannya.

Ketua Pergerakan Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata walau bagaimanapun, sayap itu tidak akan mencampuri hal-ehwal parti komponen BN yang lain.

"Wanita memegang dua prinsip, pertama, apa yang MCA buat, kita tak akan masuk campur, tapi semua komponen parti turut terasa kesannya...seperti cubit paha kiri, paha kanan terasa jua.

"Satu lagi prinsip Wanita ialah walau apapun krisis yang dihadapi, hasil daripada krisis itu akan memberi satu kekuatan yang baru," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat khas Exco Wanita Umno, di sini.

Beliau diminta mengulas kemelut yang melanda MCA dan kewajaran parti komponen BN itu mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) bagi membincangkan pemecatan timbalan presidennya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Shahrizat berkata, mesyuarat khas Exco sayap itu diadakan bagi membincangkan kaedah-kaedah pindaan Perlembagaan Umno dan Peraturan Wanita Umno yang akan diserahkan Khamis ini untuk pertimbangan Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan Umno dan ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno.

"Mesyuarat hari ini memutuskan bahawa wanita perlu diberi peluang sekurang-kurangnya pada tahap 30 peratus untuk berada di peringkat pembuat keputusan dalam parti induk Umno," katanya.

Beliau berkata, arah aliran dunia kini mendapati semakin ramai wanita diberikan peluang untuk memegang jawatan di peringkat pembuat keputusan dan perkara itu dapat direalisasikan menerusi tindakan tegas di dalam kerajaan dan parti-parti politik.

Sehubungan itu, katanya, Umno sebagai parti politik utama di Malaysia perlu menjadi perintis dan peneraju dalam usaha meningkatkan pembabitan sekurang-kurangnya 30 peratus Wanita Umno di peringkat pembuat keputusan dalam parti induk.

Shahrizat yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata perkara itu perlu kerana wanita merangkumi hampir separuh jumlah penduduk sesebuah negara.

Selain itu, beliau berkata, pengalaman, minat dan kefahaman wanita adalah berbeza berbanding lelaki manakala perwakilan kedua-dua jantina yang seimbang dapat meningkatkan proses demokrasi dalam urus tadbir kerajaan.

Katanya lagi, tiga fenomena sosial dikenal pasti sebagai faktor yang menghalang wanita memegang jawatan di peringkat pembuat keputusan iaitu kewujudan siling kaca, isu keseimbangan kerjaya dan keluarga serta kurangnya penonjolan wanita di tempat kerja.

Sehubungan itu, Shahrizat meminta wanita di seluruh negara mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan serta pengalaman dan kemahiran bagi memegang jawatan di peringkat pembuat keputusan.

Ditanya mengenai bedah siasat bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir di Pulau Pinang baru-baru ini, beliau berkata, terdapat beberapa perkara yang akan dibawa ke mesyuarat MT akan datang.

Shahrizat turut mengucapkan takziah kepada keluarga bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Omar, 80, yang meninggal dunia pagi tadi akibat kegagalan ginjal. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.