Dasar Membodohkan Rakyat

Anda tentu bersetuju sekiranya saya mengatakan bahawa tidak banyak negara membangun yang mahu melihat rakyatnya matang. Walaupun kerajaan sanggup memberikan peruntukan yang besar dalam bidang pendidikan, namun mereka tidak mengharapkan rakyat akan menjadi matang. Mereka cuma mahu rakyat berpendidikan tinggi – dalam semua bidang – tetapi mesti tetap mentah.

Orang yang matang dengan orang yang mentah ada banyak perbezaannya. Orang matang berfikir, bercakap dan bertindak berdasarkan kebijakan sendiri tanpa dipengaruhi oleh orang lain. Manakala orang mentah berfikir, bercakap dan bertindak dengan dipengaruhi oleh orang lain. Orang lain ini boleh jadi kawan, saudara mara, ibu bapa, kerajaan dan sebagainya. Malahan musuh sekalipun adakalanya dengan mudah dapat mempengaruhi orang mentah – menyebabkan orang mentah melenting tidak tentu pasal.

Orang berpendidikan tinggi belum tentu matang. Orang matang juga tidak semestinya berpendidikan tinggi. Ramai yang ada ijazah berjela-jela tetapi masih mentah. Fikiran, percakapan dan perbuatannya dipengaruhi oleh orang lain. Dia tidak pernah bebas atau merdeka dalam erti kata yang sebenar. Sebaliknya, orang matang biarpun sekadar tamat sekolah rendah, fikirannya tidak pernah terjajah. Dia senantiasa bebas, berprinsip dan ada diri sendiri. Pemikiran, percakapan dan perbuatannya tidak mewakili orang lain. Dia mewakili hati nuraninya sendiri. Orang matang tidak hipokrit. Dia tidak mudah digula-gulakan. Dia ada prinsip tersendiri yang tidak akan dijual beli.

Jadi, tidak hairanlah seandainya orang matang ini tidak dialu-alukan oleh kebanyakan kerajaan negara membangun. Kerajaan hanya mengalu-alukan orang yang mentah. Orang mentah yang berpendidikan tinggi paling dialu-alukan oleh kerajaan. Kerajaan boleh menggunakan pendapat mereka untuk mempengaruhi rakyat. Oleh sebab itulah suka benar kerajaan mengutip pendapat atau kata-kata orang berpendidikan tinggi untuk menyokong dasar mereka.

Pada masa yang sama, kehadiran orang matang sentiasa disekat. Malahan sumber-sumber seperti akhbar, web, blog, radio atau tv yang boleh membentuk rakyat menjadi orang matang turut disekat oleh kerajaan. Pelbagai akta digubal agar sumber-sumber yang boleh mematangkan rakyat dihalang daripada beroperasi. Kerajaan takut apabila rakyat menjadi matang, sukar bagi kerajaan melaksanakan dasar-dasarnya sesuka hati. Oleh sebab itu, kerajaan selalu berusaha agar rakyat terus mentah agar mudah diperbodohkan.

Kebanyakan kerajaan negara membangun kini sedang sakit kepala kerana berdepan dengan masalah langit terbuka. Media konvensional tidak menjadi masalah kerana mudah dikawal. Sebaliknya, media moden seperti web dan blog amat sukar dikawal. Sakit kepala kerajaan dibuatnya. Namun, kerajaan tidak akan mengalah. Kerajaan tetap berusaha dengan pelbagai cara agar media tersebut dapat dihapuskan. Pelbagai dasar “menyekat rakyat menjadi matang” dilaksanakan. Soal wajar atau tidak wajar soal lain. Pokoknya, sumber yang boleh menjadikan rakyat matang, cerdik atau bijak wajib disekat atau dihapuskan sama sekali.

Sekarang kerajaan sedang menyiasat media internet yang disukai ramai – Malaysiakini. Sama ada tindakan kerajaan itu ada kaitan dengan “dasar menyekat rakyat menjadi matang” atau sebaliknya, berfikirlah sendiri!

Biarpun pendidikan tidak tinggi, jadilah rakyat yang matang yang tidak mudah diperbudak-budakkan!


satu malaysia

2 comments

aa8066 said...

Klu matang ko tak akan menyokong PR. dulu masa aku belajar kat UM juga penyokong Pas. tp bila dah dewasa aku sedar Pas pati perosak melayu. Tak ada apa yg dia buat utk melayu. Lihatlah kelantan majoroti melayu di mundurkan semundur2nya smpai org kelantan terpaksa harap ehsan negeri BN utk berniaga dan belajar.

web admin said...

wsap bro...

lu dah p kelantan ke sekarang?

kahkahkahkah... ada lagi orang kata kata kelantan mundur?

fuhhh.....

Powered by Blogger.