Fitnah besar terhadap parti Islam

Oleh ABU FIRDAUS

KALAU di serata dunia, gerakan Islam difitnah sebagai golongan penjenayah yang menggalakkan keganasan dan menindas hak asasi manusia terutamanya wanita, kolot dan tidak rasional, di Malaysia pula terbalik.

Gerakan Islam difitnah sebagai tunduk kepada DAP, meninggalkan takbir, sebaliknya menjadi 'take beer', menjadi liberal dan macam-macam tuduhan yang perit dengan seolah-olah PAS sudah menjadi pengkhianat dan pembelot kepada agamanya.


Contohnya slogan 'take beer' yang ditulis pada sepanduk-sepanduk Umno. Sememangnya jenaka dan lawak untuk memburuk-burukkan PAS kerana dituduh tunduk kepada DAP dalam soal pengharaman arak di Selangor.

Namun apa yang berlaku ialah pihak yang menjunjung kain rentang menunjukkan perkataan 'take beer' itu menghina takbir dan syiar Islam sendiri. Adalah mustahil bagi PAS untuk menghalalkan arak kerana landasan Islamnya.

Tetapi kalau dilihat betapa kedudukan kerusi Pakatan Rakyat di negeri-negeri Selangor, Perak dan Pulau Pinang, orang Islam mesti faham amalan sistem demokrasi di negara ini. Orang Islam tidak boleh memecahkan undi jika mereka mahu suara itu padu. Jika tidak inilah jadinya.

Maknanya apa yang dirasakan bermasalah bagi PAS di Selangor, Perak dan Pulau Pinang ialah orang Islam tidak bersatu memberi undi kepada PAS. Maka apabila ada banyak orang Islam memberikan undi pada Umno di Selangor, Perak dan Pulau Pinang, suara parti Islam ini tidak besar dalam kerajaan Pakatan Rakyat, tetapi ia menjadi masalah bagi umat Islam sendiri.

Lihatlah andai kata orang Islam memberikan sokongan cukup padu kepada PAS di Selangor dan Perak, maka kedua-dua negeri itu akan memiliki kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang diterajui PAS sementara di Pulau Pinang, suara Islam berada di pihak PAS dan bukannya KeADILan.

Justeru, adalah fitnah besar untuk menyatakan bahawa PAS tunduk kepada DAP di peringkat kerajaan negeri. Ini kerana demokrasi memberi ruang menurut kerusi yang diberi sokongan.

Namun begitu, umat Islam juga harus melihat politik dari sudut kewarganegaraan Malaysia dan bukannya persaingan antara agama dan kaum. Ini kerana walaupun PAS tidak mendominasi kerajaan negeri Selangor, Perak dan Pulau Pinang, pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat adalah mewakili semua kaum dan agama.

PAS seperti juga DAP dan KeADILan mewakili semua kaum dan agama. Tidaklah boleh dikatakan PAS hanya mewakili orang Islam. Cara Pakatan Rakyat mentadbir berbeza daripasda Barisan Nasional.

Justeru, apabila berdepan dengan isu, PAS perlu mengambil kira sudut pandangan mereka yang bukan Melayu dan bukan Islam. Begitu juga dengan DAP. Ia bukannya mewakili Cina tetapi semua kaum dan agama. Walaupun secara tradisinya DAP dilihat sebagai pengganti MCA dan PAS dengan Umno, namun begitu sistem Pakatan Rakyat adalah berbeza.

Politik tidak berasaskan kepada fahaman dan retorik semata-mata. Akhirnya kejayaan sesuatu pentadbiran bergantung pada individu ahli politik yang terlibat. Mindanya dan sahsiahnya, selain fahaman parti secara keseluruhan. Maka manusia muncul dalam pelbagai ragam. Bagaimana seseorang itu mampu membawa diri dalam sistem pentadbiran zaman ini bergantung pada setiap individu.

Maka itu kita perlu membezakan antara individu ahli politik yang menjayakan program Pakatan Rakyat dan matlamat kerajaan negeri itu sendiri. Tentu Menteri Besar seperti Khalid Ibrahim, Nizar Jamaluddin dan Lim Guan Eng mempunyai personaliti masing-masing. Semuanya adalah dinamik di mana ketua kerajaan negeri itu berhubung dengan ahli-ahli Exco. Belum lagi dikira angggota perkhidmatan awam negeri. Dan juga pendukong-pendukong parti.

Usaha memimpin dan mentadbir kerajaan negeri juga sukar dalam keadaan mereka sentiasa menjadi sasaran pembongkaran dan penggeledahan pihak berkaitan. Sistem pentadbiran adalah seperti itu tetapi prosesnya tidak kemas dan berhemah. Politik negara ini tidak terlepas dengan amalan dan perasaan yang tidak baik untuk bangsa dan negara. Maknanya, tidak ada penerimaan bahawa sesebuah kerajaan negeri wajar diberi peluang serta sokongan bukannya kecaman yang hanya dilakukan untuk menjatuhkan.

Dalam keadaan bergelora, anggota kerajaan negeri dan penyokongnya harus meningkatkan kekuatan dalaman supaya tidak mudah dilunturkan oleh pihak pembangkang di peringkat negeri. Sememangnya usaha untuk menjatuhkan kerajaan negeri sentiasa dilakukan hinggakan kadang-kadang terfikir bahawa tidak adakah masa untuk sama-sama merenung dan merancang apa saja kebaikan untuk rakyat dan negara.

Fitnah adalah lumrah dalam usaha untuk menjatuhkan lawan. Tetapi bagi mereka yang beriman kental, fitnah tidak akan digunakan sebagai senjata. Tetapi dalam pertarungan politik hari ini, fitnah dilakukan seberat-beratnya.


Suasana mehnah ini akan membawa keburukan kepada negara keseluruhannya, termasuk umat Islam sendiri. Maka dalam keadaan sekarang, apa yang patut dilakukan adalah melawan mehnah ini. Seharusnya ada strategi untuik menangkis fitnah dan mehnah.

Ada masanya patut menyerang, waktu lain pula wajar didiamkan dengan penuh sabar. Di sinilah sifat-sifat yang diajar oleh tasawuf diamalkan dengan kental, iaitu sabar, syukur, tawaduk, zuhud dan sebagainya.

No comments

Powered by Blogger.