Lailatul Qadar, sebat dan wasiat buat Hj Mohd Najib

Kita diminta mencari Lailatul Qadar pada 10 malam terakhir dalam bulan Ramadhan. Sebuah surah khas telah diperuntukkan bagi tujuan menjelaskan keadaan tersebut. Nama surah itu adalah Surah Al-Qadar.

Peruntukan sebuah surah tentang malam Lailatul Qadar ini memang wajar dan kena pada tempatnya. Ini kerana, Lailatul Qadar sendiri mendapat namanya lantaran al-Quran diturunkan pada malam yang diberkati itu yang jatuh pada 17 Ramadhan.

Setiap tahun, kita akan raikan Nuzul Quran pada 17 Ramadhan sebagai mengingati tarikh turunnya al-Quran ini. Hari ini, hari Nuzul Quran diraikan dalam kalendar negara, tetapi kalendar kita tidak boleh menunjukkan bilakah tibanya malam Lailatul Qadar itu.

Sejarah turunnya Surah Al-Qadar

Suatu ketika, baginda Rasulullah s.a.w pernah mengadu kepada Allah s.w.t mengenai hal umatnya yang pendek usia apabila dibandingkan dengan umat-umat yang terdahulu.

Di dalam munajatnya baginda berkata lagi bahawa usia pendek itu nescaya menyebabkan umatnya tidak berkesempatan mengumpul banyak pahala seperti umat yang lalu.

Sebenarnya, Allah telah memberikan kelebihan terhadap umat Nabi Muhammad sebelum ini dalam peristiwa Isra' Mi'raj.

Kes itu melibatkan pengurangan jumlah bilangan 50 solat fardhu kepada 5 waktu, setelah masuknya 'campur tangan' Nabi Musa a.s dalam urusan pengurangan solat wajib itu.

Ini bermaksud, Tuhan adalah Zat yang maha pengasih lagi maha penyayang sehinggakan amal ibadat masih boleh 'dirundingkan' dengan pengurangan dan penambahan angka.

Tetapi, kita tidak dapat berunding lagi untuk mengada-adakan dan mengurangkan bentuk amal ibadat tersebut. Contohnya, kita tidak boleh mengada-adakan lagi solat wajib selain Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isya'. Juga, tidak boleh mengurangkan solat itu.

Adapun solat terawih, boleh saja kita amalkan sebanyak 8 rakaat, 12 atau 20 rakaat. Atau, kita boleh juga memperbanyak solat Tahajud, Tasbih dan lain-lain mengikut kemampuan kita sendiri. Demikian juga dalam hal meminta keampunan dan taubat.

Maka, di celah-celah pengharapan munajat dan doa itu, maka turun Surah Al-Qadar, yang memperihalkan keadaan malam itu yang nilaiannya lebih baik daripada 1,000 bulan.

1,000 bulan itu setara 83 tahun iaitu usia tua renta umat Rasulullah s.a.w. Usia Rasulullah s.a.w. sendiri tidak sampai 80-an kerana baginda wafat sekitar usianya 60-an.

Usia nabi dan rasul terdahulu bersama umat-umat mereka, ada yang melebihi 500 tahun, 700 tahun dan mungkin lebih panjang daripada itu. Sekurang-kurangnya, jika kita dapat 7 kali Lailatul Qadar, maka kita sudah berjaya mengatasi amal ibadat umat purba.

Bagaimanapun, sebagai umat Muhammad s.a.w, jangan kita lupakan Lailatul Jaizah, iaitu malam raya yang diminta oleh baginda Rasulullah s.a.w, agar diindah malam raya dengan laungan takbir selepas sahaja masuknya waktu Maghrib.

Sebenarnya untuk menghidupkan malam raya dengan laungan takbir bukanlah suatu yang amat sukar. Ini kerana, gaya hidup anak muda sekarang yang berkeliaran pada malamnya membuktikan bahawa mereka mampu menghidupkan malam dengan laungan takbir.

Taubat tak boleh 'dirunding', jumlah taubat boleh 'dirunding'

Jika amalan ibadat kita pada malam Lailatul Qadar itu bernilai 83 tahun, maka bagaimana pula keadaannya jika kita melafazkan kalimat taubat; istighfar pada malam tersebut?

Sudah tentulah lumayan besar ganjaran yang terbit daripada lafaz kalimat taubat itu! Kita layak mendapat pelepasan daripada api neraka. Tapi, siapalah yang sanggup bersengkang mata, mengemis keampunan Allah bagi mendapatkan pembebasan api neraka?

Sebenarnya apabila kita membincangkan hal taubat dan amal ibadat ini dan hubungannya dengan jumlah beramal ibadat dan tempoh lama bertaubat selama 83 tahun ini, maka kita terfikir sesuatu mengenai tempoh beramal dan tempoh 83 bertaubat ini.

Iaitu, betapa tempoh-tempoh ini boleh ditambah dan dikurangi. Tetapi, amal ibadat serta amal bertaubat itu tidak boleh kita tinggalkan. Malah, wajib kita laksanakan.

Jumlah bacaan istighfar misalnya boleh dilafaz sebanyak 70 kali dan 100 kali setiap hari; itulah yang diamalkan Rasulullah s.a.w sendiri. Istighfar adalah kalimat taubat.

Maka, istighfar itu perlu, tetapi jumlah lafaz istighfar itu boleh 'dirunding', dikurangi atau ditokok tambah; paling rendah 70 kali atau paling tinggi 100 kali dalam sehari.

Kes sebatan ke atas isteri Nabi Ayub a.s juga tidak kalah menariknya untuk dibincangkan tentang hal penambahan dan pengurangan jumlah sebatan ini.

Asalnya, isteri nabi itu mahu disebat 100 kali. Tetapi, akhirnya, Allah SWT menggantikan sebatan itu dengan 100 berkas ikat rumput kering dan hanya disebat sekali saja.

Jadi, hal ini menunjukkan bahawa 'jumlah denda' itu dapat dikurang dan ditokok tambah atau boleh dirunding rukhsah, tetapi hukuman sebagai taubat itu tak boleh dimansuh.

Solat fadhu misalnya boleh dipendekkan jika bermusafir atau dikurangi rakaat tetapi solat wajib dibuat. Solat tak boleh dimansuh dengan sebab musafir atau sakit. Orang uzur pun mesti bersolat mengikut kesesuaian keadaan mereka.

Ada rukhsah untuk bersolat sambil duduk atau pun tidur berbaring. Taubat pun demikian juga. Ia mesti diiringi lafaz istighfar dan didenda, sesuai dengan ketetapan hukum.

Hukuman sebat ke atas peminum arak boleh dikurangi sehingga 40 kali sebatan atau pun ditambah sehingga 80 kali sebatan. Jumlah hukum denda boleh dirunding, tapi hukuman itu tak boleh dimansuhkan. Kes sebat isteri Ayub a.s menunjukkan bahawa, jumlah sebat boleh dikurangi, tetapi hukuman tidak boleh dimansuhkan.

Demikian juga hukuman sebat yang dikenakan ke atas Kartika. Soal jumlah sebatan tidak perlu kita debatkan berapa banyak sebatan. Jumlah angka sebatan boleh dirunding.

Begitu juga dengan alat menyebat; rotan, pelepah tamar atau apa sahaja, maka ia bolehlah kita runding. Tapi, tiada boleh dirunding lagi untuk dimansuhkan Wallahualam.

Ketika baginda diminta membatal hukum penggal tangan ke atas wanita bangsawan yang mencuri, baginda bersabda, "Kalian minta syafaat dalam hudud Allah? Jika Fatimah binti Rasulullah mencuri, nescaya aku yang memenggal tangannya."

Hubungan keadilan, ketaqwaan dan puasa

Dalam nas al-Quran yang mewajibkan kita berpuasa, kita akan temui firman Tuhan yang meminta kita laksanakan amalan berpuasa, semoga kita akan mencapai darjat taqwa.

Tuhan berfirman, amalan puasa ini pernah dilakukan umat dahulu, semoga umat baginda ini akan mencapai darjat ketaqwaan hendaknya. Apakah kita mencapai taqwa?

Baru-baru ini, Perdana Menteri Haji Mohd Najib Abdul Razak lewat ucapannya di depan para pegawai kerajaan di Putrajaya berkata bahawa keadilan tidak mengira sesiapa.

Beliau memetik Surah Al-Maidah ayat 8 yang bermaksud: "O you who believe! stand out firmly for Allah as just witnesses; and let not the enmity and hatred of others make you avoid justice. Be just: that is nearer to piety; and fear Allah. Verily, Allah is well-Acquainted with what you do."

Kata Hj Mohd Najib sempena perutusan menyambut Nuzul Quran itu kita perlu adil tidak kira sesiapa pun, tanpa mengira agama, bangsa yang dianuti manusia itu.

Tapi, adakah kita telah melakukan keadilan ke atas wanita Mongolia yang dibom dengan bom C4 itu? Ini bermaksud, Haji Mohd Najib tak sedar bahawa perkataannya bersalahan dengan ucapannya, atau terlupa atau tidak tersedar bahawa beliau sendiri adalah manusia yang paling awla mengamalkan semangat daripada nas tersebut.

YB Khalid Samad dalam ceramah di TV Antara menghubungkan dalil yang sama disebut oleh Haji Mohd Najib itu dan sesekali menyelitkan juga peringatan kepada PM itu secara tersirat. Bagaimana kita mahu Haji Mohd Najib faham, sedar bahawa tindakannya selama ini telah bercanggah dengan Surah Al-Maidah, ayat 8 itu?

Semoga nas ini akan menjadi salah satu daripada silibus usrah Kelab Damai di universiti, juga ayat itu kerap menjadi bahan tazkirah Haji Mohd Najib ketika membuka mesyuarat kabinet apabila membuat keputusan PRK pada masa depan selepas Bagan Pinang.

Seperti yang termaklum, kapal selam KD Tunku Abdul Rahman telah sampai di perairan laut negara dalam Ramadhan juga, tapi keadilan ke atas Altantuya masih belum terzahir dalam bulan yang sepatutnya membuahkan ketaqwaan ke atas Haji Mohd Najib.

Satu-satunya wanita yang mencapai ketaqwaan ialah Kartika yang rela dirinya disebat di atas kesalahannya. Hanya yang bertaqwa berani dihukum. Insan yang tak bertaqwa akan terlepas daripada jaring hukuman walaupun kes Altantuya itu jelas menikam dirinya.

Jikalau keadilan tidak dapat beliau terjemahkan dalam Ramadhan, ini bermakna dia gagal mencapai ketaqwaan, lantaran madrasah Ramadhan sepatutnya mengusung jiwa keruh ke arah kejernihan jiwanya untuk membuat pengakuan seperti Kartika itu.

Soalan cepu emas cepu perak buat Perdana Menteri Haji Mohd Najib, adakah beliau sudi membuat pengakuan selepas Syawal seperti mana Kartika yang dikatakan akan menerima hukuman pada Syawal yang bakal menjelang?

Ramadhan gagal membuatkan Haji Mohd Najib mencapai ketaqwaan. Tetapi, keadilan ke atas Altantuya tidak hanya perlu dilaksanakan dalam bulan Ramadan. Ia boleh dilakukan dalam bulan Syawal, Dzulkaedah dan lain-lain bulan.

" ... I'diluu huwa 'aqrabu littaqwa ..." - "..Berlaku adillah kerana hal itu akan mendekatkan kamu kepada ketaqwaan.."

Sekiranya dalam 10 malam terakhir ini, Haji Mohd Najib mendapat lailatul Qadar sekali pun, dosa akibat pembunuhan Altantuya tidak akan terampun melainkan beliau membuat perhitungan dengan keluarga model tersebut.

Ini kerana, dosa-dosa yang terampun dalam Lailatul Qadar hanya dosa antara diri dengan Tuhan saja, seperti berfoya-foya di Port Dickson dan lain-lain, tapi dosa sesama manusia tetap tidak terampun melainkan dengan keampunan manusia yang dizaliminya itu.

Carilah Lailatul Qadar pada malam 25 Ramadan ini untuk meminta keampunan daripada Allah SWT sebanyak-banyaknya, tetapi dosa membunuh tetap belum terhapus.

Dengar-dengar cerita, malam Lailatul Qadar berlaku pada 25 Ramadan ini. Semoga Haji Mohd Najib menerima pencerahan dan insaf akan tindakannya selama ini. Amin.

No comments

Powered by Blogger.