Menteri Dalam Negeri Salah Guna Kuasa

SHAH ALAM, 3 September - Kerajaan Negeri Selangor mempersoalkan kewajaran kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein setelah bertemu dengan kumpulan yang mengarak kepala lembu semalam.

Pada dasarnya Kerajaan Negeri tidak membantah sebarang pertemuan yang melibatkan isu hak dan kebajikan sesama rakyat dan pemimpin kerajaan, namun ianya menjadi pertikaian apabila seseorang pemimpin kerajaan bertemu dengan mereka yang sedang disiasat oleh polis kerana terlibat dalam aksi-aksi provokatif yakni mengarak kepala lembu ke Bangunan SUK minggu lalu.

Ekoran daripada tindakan kumpulan yang tidak bertanggungjawab ini, antaranya merupakan anggota parti politik tertentu, lebih 50 laporan polis telah dibuat oleh orang awam, pemimpin masyarakat setempat dan wakil rakyat menggesa agar pihak polis menjalankan siasatan segera dan tanpa bias ke atas mereka yang terlibat dalam perarakan kepala lembu.

Namun apa yang dikesali ialah, sementara polis masih menjalankan siasatan, Hishammuddin mengambil langkah untuk bertemu dengan mereka ini, malah mempertahankan mereka habis-habisan bahawa tindakan mengarak lembu di luar kawalan penganjur perarakan dan bukan bertujuan untuk menimbulkan ketegangan perkauman.

Jelas pertemuan Hishammuddin semalam adalah untuk memberikan perlindungan politik kepada kumpulan ini dengan menyalahgunakan kuasanya sebagai Menteri Dalam Negeri yang menguasai pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hasan menyalahkan kerajaan negeri dalam kejadian mengarak kepala lembu itu untuk menutup kegagalan pihak polis mengelakkan kejadian penghinaan agama itu daripada terjadi, apatah lagi kejadian tersebut berlaku di perkarangan Bangunan SUK.

Harapan masyarakat umum agar pihak polis menjalankan siasatan dengan saksama dan tanpa bias dijangka tidak dapat menjadi realiti kerana Menteri Dalam Negeri sendiri telah memberi kata-kata perlindungan kepada mereka yang membuat provokasi perkauman. - NIZAM

No comments

Powered by Blogger.