Pelajar Malaysia terpaksa sembunyikan identiti

JOHOR BAHRU 11 Sept. - Kira-kira 1,000 pelajar Malaysia di Jakarta mengambil langkah berwaspada termasuk terpaksa 'menyembunyikan' identiti sebagai rakyat Malaysia bagi meningkatkan tahap keselamatan.

Mereka turut mengelak daripada berada di tempat awam di luar kampus ekoran tindakan sekumpulan penunjuk perasaan bersenjatakan buluh runcing dalam gerakan Sweeping Malaysia (Sapu Malaysia) bagi mencari dan mengusir rakyat negara ini.

Pelajar perubatan Universiti Trisakti Jakarta, Nur Atfina Sabri, 22, berkata, dia dinasihatkan agar tidak memakai pakaian beridentiti Malaysia seperti baju kurung agar tidak menampakkan diri sebagai rakyat Malaysia ketika berada di luar rumah.

"Kami juga diberi amaran supaya mengelak berada di luar kampus atau rumah jika tidak perlu dan tidak pergi lokasi berlaku rusuhan seperti Jalan Diponegoro, katanya yang berasal dari Johor Bahru ketika dihubungi di Jakarta hari ini.

Baru-baru ini, sekumpulan penunjuk perasaan dalam gerakan dikenali sebagai Sapu Malaysia menahan kenderaan-kenderaan yang melalui Jalan Diponegoro bagi mencari dan mengusir rakyat Malaysia dari Indonesia.

Kumpulan berkenaan yang mengikat bendera Indonesia di kepala meminta pemandu dan penumpang menyerahkan kad pengenalan masing-masing bagi merampas kad pengenalan Malaysia.

Tindakan berkenaan dilakukan berikutan tuduhan Malaysia mencuri Tarian Pendet yang berasal dari Bali yang dilemparkan media massa Indonesia terhadap Malaysia.

Nur Atfina berkata, walaupun timbul sedikit sebanyak perasaan takut namun pelajar-pelajar Malaysia di empat buah universiti di Jakarta berada dalam keadaan selamat.

Menurutnya, mereka juga sentiasa dimaklumkan perkembangan terkini oleh Kedutaan Malaysia dan Biro Perhubungan Persatuan Kebajikan Pelajar Malaysia di Indonesia.

Rakannya, Nur Shamila Shaari, 22, berkata, pakaian wanita Malaysia dan Indonesia tidak begitu berbeza kecuali gaya pemakaian dan jenis tudung.

No comments

Powered by Blogger.