Pemuda PAS Siap ke Bagan Pinang

1. Tidak lama lagi , akan berlangsung satu lagi pilihanraya kecil di Bagan Pinang Negeri Sembilan . Seperti biasa , seluruh jentera parti akan dikerah bagi menawan kerusi DUN tersebut .

2. Pastinya Pemuda PAS akan menjadi salah satu jentera penting parti bergandingan dengan parti - parti rakan dari PAKATAN Rakyat .

3. Tanpa mengenal penat dan letih , saya percaya pemuda PAS yang telah sekian lama terlatih mendepani pilihanraya [ umum atau kecil ] kini telah siap siaga menanti arahan komandernya untuk turun beraksi memburu kemenangan .

4. Insyaallah , memandangkan Bagan Pinang ini adalah kawasan yang dimenangi oleh UMNO dan BN dalam pilihanraya umum yang lalu , maka tentunya kekuatan berlipat ganda diperlukan oleh PAKATAN Rakyat untuk merampas kerusi itu . Pemuda PAS tentunya tidak teragak - agak untuk mengerahkan semaksima mungkin tenaga upayanya . Semoga Pilihanraya kecil kali ini sekali lagi akan jatuh ke tangan PAKATAN Rakyat .

5. Esok Dewan Pemuda PAS Pusat akan mengadakan mesyuarat rutin bulanannya dan antara agenda penting yang akan dibincangkan ialah persiapan menghadapi pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang . Insyaallah , kali ini pemuda PAS akan menumpukan beberapa perkara berkait dengan strategi untuk memenangi kerusi DUN tersebut sekaligus merencana gerakan secara taktikal dan teknikal .

6. Post mortem beberapa pilihanraya kecil sebelum ini akan menjadi panduan bertindak dan pedoman merancang . Kita selamanya tidak akan memandang rendah pada keupayaan lawan tetapi pemuda PAS senantiasa optimis bahawa kita mampu , layak dan berhak untuk mengalahkan UMNO dan BN yang kini sedang ditolak oleh rakyat ekoran pelbagai salah laku , penyelewengan , rasuah dan kezaliman yang dilakukan oleh mereka terhadap rakyat dan negara .

7. Setelah melalui begitu banyak siri pilihanraya kecil dalam tempoh setahun ini memanglah sedikit sebanyak memberi kesan psikologi kepada jentera . Sebahagiannya telah kehabisan cuti untuk turun memberi khidmat tenaga demikian juga wang ringgit yang telah banyak dikorbankan untuk memenangi semua pilihanraya kecil sebelum ini kecuali di Batang Ai Sarawak . Sebahagiannya juga mungkin mengeluh kerana penat dan letih ekoran terus - terusan menghadapi pilihanraya .

8. Suka saya tegaskan di sini , andai kalian adalah pejuang Islam , pastinya kalian tidak akan cepat mengalah dan berasa lelah menghadapi situasi ini . Sebaliknya pemuda PAS akan berkata sebagaimana berkata generasi terdahulu apabila mereka menyaksikan kedatangan musuh :

و لما رآى المؤمنون الأحزاب قالوا هذا ما وعدنا الله و رسوله و صدق الله و رسوله و ما زادهم إلا إيمانا و تسليما

dan tatkala orang - orang beriman menyaksikan tentera - tentera Ahzab [ Barisan Musuh ] menghala ke arah mereka , mereka berkata inilah apa yang telah Allah swt dan RasulNya janjikan kepada kita dan telah benarlah janji Allah swt dan RasulNya dan tidaklah bertambah di dalam jiwa mereka melainkan keimanan yang tinggi dan penyerahan yang nekad kepada Allah swt .

9. Bukankan pilihanraya ini adalah sebahagian dari tugas jihad dan amal Islami yang kita perjuangkan ? Kita mencari kuasa politik agar kita mampu mendaulatkan syariat Allah swt dan meninggi syiar AgamaNya . Setidak - tidaknya kita berupaya mengekang penguasaan UMNO dan BN dari terus bermaharajalela melakukan rasuah , penyelewengan kuasa dan kezaliman ke atas rakyat dan negara .

10. Namun begitu , bukanlah bermakna kita meninggalkan aktiviti - aktiviti penting yang lain seperti usrah , kuliah , liqa' fikri , tamrin dan 1001 aktiviti tradisi yang diwarisi dari pejuang sebelumnya .

Sementara kita fokus kepada usaha memenangi pilihanraya kecil di Bagan Pinang , insyaallah pemuda PAS juga akan terus menyemarakkan usaha dakwah dan tarbiyyah di semua peringkat parti di seluruh negara . Pemuda PAS mempunyai langkah teknikal dan taktikal yang tersendiri bagi mengimbang keperluan fokus dalam semua perkara utama yang mesti dilakukan oleh pemuda PAS termasuk pilihanraya kecil .

No comments

Powered by Blogger.