Teng Cadang Peruntukan Tahunan Adun Ditetapkan Secara Bulanan

SHAH ALAM, 11 September - Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat), Teng Chang Kim hari ini mencadangkan agar pengeluaran peruntukan tahunan Adun dihadkan mengikut bulan.

Bercakap pada sidang media selepas sesi pendengaran itu ditangguhkan, Teng berkata, ia bagi memastikan wang peruntukan 500 ribu ringgit yang disediakan itu digunakan dengan betul dalam tempoh 12 bulan.

“Kita akan hadkan jumlah peruntukan yang boleh dikeluarkan pada setiap bulan, mungkin itu satu cara yang boleh diperkenalkan supaya peruntukan itu tidak dikeluarkan dalam tempoh satu setengah bulan,” katanya

Menurut Teng, pejabat daerah juga sepatutnya memainkan peranan bagi memastikan peruntukan yang diluluskan diperhalusi terlebih dahulu supaya pengagihan dilakukan dengan lebih jelas.

Jelasnya, kelulusan peruntukan Adun pada 2008 lebih kepada parti politik sebagai dana parti, dan bukan untuk dana pembangunan dan program mesra rakyat.

“Kita juga Nampak peruntukan juga diberikan kepada parti politik melalui cawangan mereka, ini beerti dana kerajaan telah digunakan sebagai dana parti, dan itu tidak termasuk lagi dengan projek-projek yang diberikan kepda konco-konco, itu kita belum semak,” katanya.

Ketika sesi pendengaran berlangsung, Teng mengatakan pegawai daerah mempunyai hak untuk menegur mana-mana wakil rakyat agar menggunakan wang peruntukan dengan betul.

“Pegawai daerah adalah pengawal kewangan, orang yang mengawal, kalau tak mengawal dengan betul, main lulus sahaja permohonan, itu bukan pengawal namanya, tak laksanakan tanggungjawab dengan betul, perlu pastikan semua betul dan mana tak betul, kena betulkan,” katanya.

Kenyataan Teng disokong oleh Pegawai Daerah Gombak, Huzaini Samsi agar lebih berhati-hati pada masa akan datang dan bersedia menasihati wakil-wakil rakyat sekiranya jumlah permohonan wang peruntukan melebihi dalam satu masa.

Sesi pendengaran awam akan bersambung minggu hadapan.-ATIQAH YAACOB (TVSELANGOR)

No comments

Powered by Blogger.