Terserah kepada Pahang laksana hukuman sebat: PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini berkata pihaknya menyerahkan kepada kerajaan Pahang untuk melaksanakan hukuman sebat ke atas model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di sini, Presiden Umno itu bagaimanapun berkata ini tidak bermakna Umno tidak prihatin terhadap kes tersebut.

"Perlembagaan itu di bawah undang-undang mahkamah syariah iaitu di bawah bidang kuasa negeri. Jadi kita serah pada negeri untuk menentukannya," katanya ketika mengulas dakwaan pembangkang bahawa Umno tidak mengambil berat terhadap kes Kartika itu.

Semalam, Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Abdul Manan Abdul Rahman, dilaporkan berkata pihaknya bersedia meneruskan hukuman itu selepas Aidilfitri ini selepas ditangguhkan kerana "menghormati Ramadan".

Katanya, pelaksanaan hukuman itu bagaimanapun bergantung kepada semakan Panel Rayuan Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan dan keputusan semakan itu akan diumumkan oleh Ketua Hakim Syarie Pahang, Datuk Abdul Hamid Abdul Rahman.

Pada 20 Julai lalu, Kartika, 32, dijatuhi hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah di Kuantan selepas mengaku salah meminum arak di sebuah hotel di Cherating.

Najib kemudiannya menghadiri majlis berbuka puasa di Dewan Merdeka PWTC bersama kira-kira 1,000 anggota Umno. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.