Tiada kerajaan baru di Terengganu ?

Oleh: Mohd Shuhaimi Al-Maniri

Sekarang ini, SPR mempunyai satu lagi peranan baru, iaitu memutuskan kes sama ada kerusi tersebut kosong atau tidak. Sebagaimana yang dijangkakan oleh ramai pemerhati politik, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan bahawa Datuk Abu Hassan Sarif masih kekal sebagai ADUN Kota Siputeh, Kedah sebagaimana kes tiga ADUN Perak sebelum ini.

Dalam keadaan suasana politik yang tidak memihak kepada parti pemerintah sekarang ini, pilihanraya kecil akan menjejaskan lagi kredebiliti UMNO dan Barisan Nasional bila tewas dalam semua 7 pilihanraya kecil yang diadakan di Semenanjong selepas ledakan politik yang berlaku dalam pilihanraya umum ke-12 pada Mac, 2008.

Apa pun alasan yang diberikan oleh SPR bagi membenarkan keputusannya, rakyat sudah tidak dapat diyakini dengan mudah sekarang ini. Saya diberitahu, perlembagaan Negeri Kedah tidak menyebut Seksyen 51 Perlembagaan Negeri memperuntukkan mana-mana anggota DUN yang tidak hadir sidang Dewan dua kali berturut-turut hilang keanggotaannya dan hendaklah mengosongkan kerusi yang disandang TANPA menyebut tidak menghadiri dua mesyuarat berturut-turut di dalam dua penggal yang dua mesyuarat di dalam satu penggal yang sama.

Pihak yang sepatutnya mentakrifkan tentang perlembagaan ini adalah sepatutnya mahkamah. Jadi bagi membolehkan mahkamah menentukannya, sudah tentu perlu ada pihak, sama ada pengundi atau mana-mana pihak yang berkepentingan dalam kes ini untuk memfailkannya di mahkamah terlebih dahulu bagi membolehkan hakim membuat tafsiran sama ada dalam satu penggal yang sama ataupun tidak.

Malah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak dilaporkan berkata, Kerajaan Negeri menyerahkan kepada Penasihat Undang-undang dan Speaker Dewan Undangan Negeri untuk mengkaji peruntukan undang-undang dan mengambil tindakan dan mengambil tindakan lanjut termasuk jika terpaksaa membawa perisytiharan kekosongan kerusi DUN itu ke mahkamah.

Tiada ADUN lompat di Terengganu

Dalam Siasah keluaran lepas saya hanya membuat komen sepintas lalu berhubung khabar-khabar angin ADUN UMNO akan melompat kepada PKR bagi membentuk kerajaan baru Pakatan Rakyat di Terengganu.

Bermula dengan laporan dari The Malaysian Insider, kini berita sembilan Adun Umno Terengganu akan melompat parti semakin panas diperkatakan. Saya menjadi lebih terkejut bila muka depan Siasah keluaran yang sama meletakkan andaian “Harun Taib bakal MB”.

Saya tidak pasti apa tujuan Siasah menjadikan berita ini tajuk utama seolah-olah ianya benar-benar hampir berlaku dan akan menjadi kenyataan menyebabkan ramai teman-teman di Terengganu yang menghubungi saya untuk mengetahui maklumat terkini perkembangan yang berlaku di Kuala Lumpur kerana di Kuala Terengganu kata mereka masih sunyi lagi tambah lagi gossip politik “kedai kopi” ditutup sementara dalam bulan Ramadhan ini.

Sebagaimana yang dilaporkan dalam kolum ini pada keluaran lepas, Datuk Harun Taib yang menjadi Pesuruhjaya PAS Terengganu pun dilaporkan terkejut dan tidak tahu menahu dengan perkembangan tersebut. Malah beliau mendakwa ada bertemu dengan Anwar Ibrahim dalam satu program ceramah di Kemaman baru-baru ini tetapi tidak ada pula dimaklumkan perkembangan tersebut.

Setelah beberapa risikan dilakukan dikalangan yang rapat dengan UMNO, memang ketidakpuasan hati ADUN UMNO Terengganu dan perang dingin secara terbuka terhadap Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said yang bukan pilihan mereka begitu memuncak tetapi untuk menyakini bahawa mereka melompat kepada pembangkang adalah amat mustahil, seperti yang disebut oleh ADUN Ajil, Dato’ Rasol Wahid, jurucakap kumpulan berkenaan tetapi dalam politik semua kemungkinan boleh berlaku.

Sungguhpun ada wakil rakyat yang mengaku ada rundingan dibuat yang melibatkan beberapa orang wakil rakyat berkenaan cadangan untuk lompat parti kepada PKR sejak dua bulan lepas, tetapi seorang pemimpin PAS Terengganu yang tidak mahu dikenali berkata beliau tidak yakin pemimpin UMNO akan melompat ke pihak pembangkang walaupun untuk menubuh kerajaan selagi kerajaan Pusat masih dikuasai oleh UMNO.

Katanya, pemimpin UMNO tidak seperti pemimpin PAS yang tahan diuji dengan berbagai dugaan dan cabaran. Pengalaman kerajaan PAS Terengganu (1999-2004) dan kerajaan-kerajaan Pakatan Rakyat di lain-lain negeri selepas Mac, 2008 membuktikan bahawa UMNO tidak akan membiarkan kerajaan negeri berkenaan akan aman dan tenteram memerintah.

Selepas kerajaan Pakatan Rakyat Perak ditumbangkan secara tidak demokratik, sekarang ini kerajaan Selangor dan Kedah pulak berada dalam senarai sasaran mereka untuk ditumbangkan dalam jangkamasa terdekat, mungkin dengan cara dan taktik yang sama.

Tidak cukup dengan tindakan-tindakan politik, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang aktif mengendalikan tindakan-tindakan mereka setelah dikatakan berjaya memainkan peranannya di Perak sebelum ini.

Berbagai-bagai isu dan serangan psikologi kepada exco-exco dan ADUN-ADUN Pakatan Rakyat di negeri-negeri berkenaan dilakukan.

Berbalik kepada negeri Terengganu ini, pada saya adalah agak mustahil ADUN-ADUN UMNO yang telah mendapat berbagai nikmat dan kesenangan kehidupan sebelum ini sanggup memperjudikan diri mereka menghadapi ancaman seperti ini kerana mereka hanya tidak bersetuju dengan Menteri Besar sahaja dan bukannya perjunagan UMNO dan BN itu sendiri.

Malah ada ahli-ahli PAS dan PKR yang melihat pembentukan kerajaan secara melompat tidak akan kekal lama dan akan menghakis integriti politik baru yang sedang diwar-warkan serta meranapkan keyakinan rakyat..

Kegagalan demi kegagalan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin UMNO dan BN yang berlaku sekarang ini menyebabkan rakyat semakin hilang keyakinan kepada mereka untuk terus menerajui Terengganu.

Pilihanraya umum ke-13 akan diadakan kurang lebih dua tahun sahaja lagi merupakan merupakan medan terbaik untuk PR untuk menawan Terengganu. Kejayaan memenangi pilihanraya adalah lebih bermaruah untuk membentuk kerajaan.

Artikel ini diterbitkan untuk akhbar Siasah

No comments

Powered by Blogger.