Bazir RM100 Bilion: Kerajaan Kelantan Anjur Seminar Khas Dedah Dakwaan Wain

KUALA LUMPUR, 20 Januari - PAS Kelantan bakal mengadakan seminar khas membincangkan kandungan buku penulis Barry Wain yang mendakwa kononnya RM100 bilion telah dibazirkan oleh kepimpinan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selama 22 tahun.

Justeru, PAS negeri itu bercadang menjemput bekas pengarang urusan Asian Wall Street Journal itu supaya mengambil bahagian untuk menjelaskan pendedahannya.

Seminar khas itu dicadang akan dianjurkan dalam waktu terdekat, kemungkinan menjelang Mac ini. Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Dewan Harian PAS Kelantan semalam.

Memetik laporan Malaysian Insider, Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan Datuk Husam Musa berkata pihaknya mahu rakyat mengetahui apa yang sebenarnya berlaku dengan RM100 bilion, sebagaimana didakwa Wain.

“Selain mengadakan seminar PAS juga akan meminta buku berkenaan diterbitkan di Malaysia memandangkan pasarannya berhadapan dengan masalah kelulusan Kementerian Dalam Negeri,” katanya.

Husam menambah seminar itu tetap akan diadakan sama ada buku diluluskan untuk pasaran ataupun sebaliknya.

Kementerian Dalam Negeri masih mengkaji kandungan buku itu yang berjudul “Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times”.

Bagi menyempurnakan tugasan ini, Husam yang juga Exco kerajaan negeri Kelantan berkata, Pemuda PAS Kelantan telah diberikan tanggungjawab tersebut.

Sementara itu setiausaha PAS Kelantan Datuk Mohd Zaki Ibrahim memberitahu pihaknya mahu mendedahkan bagaimana sejumlah RM100 bilion telah dibazirkan oleh kepimpinan Dr. Mahathir.

“Melalui seminar ini rakyat akan mengetahui situasi sebenar termasuk dakwaan bahawa wang digunakan oleh Umno untuk membina PWTC,” kata beliau yang yakin banyak maklumat akan didedahkan dengan mengadakan seminar itu.

Difahamkan PAS Kelantan mengambil langkah ini ekoran tindakan berturut-turut Umno khususnya Pergerakan Pemudanya membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pentadbiran kerajaan negeri.

Terbaru, Pemuda Umno Kelantan membuat aduan mendakwa wujud penyelewengan dalam urusan pembinaan kompleks Bazar Tok Guru, kelmarin.

Kelantan juga mempertikaikan isu royalti petroleum.

Kajian terhadap buku itu, menurut Kementerian Dalam Negeri, merupakan satu proses biasa kepada mana-mana penerbitan di dalam dan luar negara dan buku tulisan Wain tidak terkecuali daripada menjalani proses tersebut.

Kajian itu bagi memastikan ia tidak menimbulkan sebarang kemudaratan kepada keselamatan dan ketenteraman rakyat Malaysia.

Kementerian itu mempunyai masa selama 60 hari bagi menentukan sama ada untuk meluluskan atau sebaliknya pengedaran buku tersebut di Malaysia.

Dipercayai kajian itu kini sudah sebulan lamanya.

Dalam bukunya, Wain mendakwa kononnya Dr Mahathir membazirkan sehingga RM100 bilion ketika menjadi Perdana Menteri.

Bagaimanapun Dr Mahathir dalam blognya www.chedet.co mengakui pernah berlaku beberapa kerugian dalam tempoh pentadbirannya tetapi jumlahnya tidakpun mencecah RM10 bilion.

No comments

Powered by Blogger.