Digilis lori tangki

TANAH MERAH - Seorang lelaki maut dalam kemalangan yang melibatkan dua kenderaan berat dan sebuah motosikal di Kilometer 1.5 Jalan Sultan Ismail Petra di sini semalam.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 3.15 petang itu menyebabkan penunggang motosikal, Mat Radin Daud, 53, yang mengalami kecederaan di kepala maut akibat digilis sebuah lori tangki.

Dalam kemalangan terbabit, mangsa yang berasal dari Padang Halban, Chomel, Tanah Merah, dalam perjalanan menghala ke Tanah Merah, dipercayai melanggar tepi pintu sebelah pemandu sebuah kenderaan empat pacuan roda jenis Pajero yang di parkir di kiri bahu jalan.

Mangsa tidak dapat mengelak motosikalnya lalu merempuh Pajero terbabit ketika pemandu berkenaan membuka pintu.

Seorang saksi yang melihat kejadian, Fazrin Che Osman, 21, motosikal yang dinaiki Mat Radin cuba mengelak Pajero yang membuka pintu di sebelah kedai makan dan menyebabkan mangsa jatuh.

“Belum sempat mangsa bangun, secara tiba-tiba sebuah lori tangki yang menghala ke bandar Tanah Merah tidak sempat mengelak dan melanggar mangsa sehingga menyebabkan dia mati di tempat kejadian.

“Ngeri melihat mangsa yang terperosok di bawah lori berkenaan dan beberapa anggota bomba dari Balai Bomba Tanah Merah turut membantu mengeluarkan mangsa yang terperosok bawah lori berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Abdul Aziz Mahmud, mangsa gagal mengelak motosikal yang ditunggangnya dan merempuh pintu Pajero sehingga menyebabkan mangsa jatuh dan tercampak ke sebelah kanan jalan.

“Secara kebetulan sebuah lori treler yang menuju ke arah yang sama melalui jalan tersebut dan tidak sempat membrek lalu menggilis mangsa sehingga menyebabkan mangsa terperosok di bawah lori terbabit.

“Mangsa mengalami kecederaan serius di kepala dan mayatnya dibawa ke Hospital Tanah Merah (HTM) untuk dibedah siasat," katanya.

sinar harian

No comments

Powered by Blogger.