DT Beri Keterangan

Editor Suara Keadilan, Dzukarnain Taib hari ini dipanggil ke ibu pejabat polis Shah Alam untuk memberikan keterangan berhubung laporan akhbar itu yang bertajuk “Pornthip Sahkan Beng Hock Dibunuh”.

Beliau tiba di perkarangan ibu pejabat polis kira- kira jam 1.30 tengahari.

Dzukarnain atau lebih dikenali sebagai DT ditemani peguamnya, Ranjit Singh keluar semula satu jam kemudian. ,p> Ranjit yang mewakili DT bagaimanapun berkata pihaknya agak keliru dengan tindakan polis memanggil DT tanpa menyatakan pertuduhan terhadap anak guamnya.

Bagaimanapun, mereka memberikan kerjasama yang baik kepada polis kerana badan itu hanya menjalankan tugas setelah laporan dibuat ke atas Suara Keadilan.

“ Polis memanggil en Dzulkarnain untuk memberi keterangan berhubung artikel dalam Suara Keadilan yang telah ditulis beliau. Artikel mengenai Teoh Beng Hock lah” katanya kepada wartawan.

“ Kami pun tidak tahu. Kami tidak tahu, yang kami tahu ada orang buat laporan polis, itu sahaja. Jika ada jenayah kami pun tidak tahu” tambahnya lagi.

Dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), telah membuat laporan polis pada 1 Januari lalu terhadap pakar patalogi dari Thailand Pornthip Rojanasunand dan juga akhbar Suara Keadilan berdasarkan keratan akhbar berkenaan.

Ditanya apakah bentuk soalan yang diajukan pihak polis, Ranjit menjawab ia berhubung laporan akhbar yang ditulis oleh DT.

“ Mesti berkaitanlah dengan artikel yang ditulis dalam Suara Keadilan”, ujar Ranjit menjawab soalan salah seoarang pemberita di hadapan IPD Shah Alam.

Bagaimanapun, menurut Ranjit, beliau dan anak guamnya tidak diberitahu sama ada akan dipanggil semula untuk diambil keterangan kali kedua.

“ Kami tidak (tahu). Kita tidak tahu. Kami tahu ada laporan polis dan ada siasatan. Ini yang pertamalah, yang lain kami tidak tahu”.

Sementara itu, DT yang ditanya apakah perasaan beliau dipanggil untuk memberi keterangan kepada pihak polis hanya menjawab, beliau menjalankan tugas dan tidak akan berhenti daripada melaporkan mengenai berita kematian Beng Hock yang disifatkannya sebagai berkepentingan awam.

“ Ini kali pertama dipanggil polis untuk memberi keterangan. Normal tidak ada apa-apa. Saya hanya melakukan tugas saya. Seperti anda semua” jawab DT.

“ Peranan media dari membincangkan apa-apa isu yang berkepentingan awam daripada sudut jeneralnya. Itu peranan media”katanya lagi.

Malah menurut DT, beliau berkeyakinan laporan akhbar itu tidak sama sekali akan menjejaskan inkues yang sedang berjalan.

Inkues Beng Hock akan bersambung esok.

Beng Hock, 30, Setiausaha Politik Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam selepas memberi keterangan sebagai saksi berhubung dakwaan salahguna peruntukan untuk ADUN di Selangor, di pejabat SPRM di tingkat 14 bangunan yang sama.

No comments

Powered by Blogger.