Karnival Selangor Ria Berjaya Mengutip Jualan RM2.7 juta

SHAH ALAM, 06 Jan - Karnival Selangor Ria anjuran Kerajaan Negeri yang berakhir pada 27 Disember lalu berjaya mencatatkan kutipan jualan sebanyak RM2.7 juta.

Kutipan ini adalah jauh lebih tinggi dari sasaran asal RM2 juta.

Program tahunan ini bertujuan menyediakan platform pameran dan jualan kepada produk-produk segar hasil pertanian serta produk keluaran Industri Kecil dan Sederhana (IKS) tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari berkata karnival 9 hari ini berjaya menarik minat 900 ribu pengunjung hadir memeriahkan program ini.

“Selangor Ria kita yang penutup tirai 2009 telah berjaya kita anjurkan dan sambutan sangat baik sekali di mana kita dedahkan kepada masyarakat di bandar tentang produk pertanian dan IKS, kunjungan yang datang ke Selangor Ria sebanyak 180 ribu buah kereta yang masuk, dan kita anggarkan kehadiran sekitar 900 ribu orang dan jumlah jualan yang kita capai daripada Selangor Ria keseluruhannya ialah 2.7 juta yang mana ia melebihi sasaran kita iaitu 2 juta”, jelas Yaakob Sapari.

Beliau berkata demikian kepada Tv Selangor ketika ditemui di pejabatnya selepas menghadiri mesyuarat Exco Selangor di Shah Alam hari ini.

Yaakob menambah, sebanyak 200 gerai jualan terdiri daripada peniaga-peniaga dalam kategori mikro sehingga kepada syarikat-syarikat besar seperti Nestle mengambil bahagian dalam program ini.

Selain itu katanya, produk-produk yang ditawarkan dalam karnival ini pada harga yang lebih rendah dan berpatutan berbanding harga pasaran semasa.

“Kita ada 200 gerai, yang mana mereka adalah IKS negeri Selangor sama ada di bawah kerajaan negeri punya bantuan IKS ataupun di bawah Lembaga Pertubuhan Peladang ataupun di bawah FAMA ataupu di bawah Jabatan Veterina dan Perikanan, sebahagian gerai adalah gerai pameran tidak ada jualan, untuk kita dedahkan tentang teknologi pertanian negeri Selangor”, jelasnya lagi. - MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN

No comments

Powered by Blogger.