Ekonomi dunia dijangka kekal berdepan dengan krisis

PARIS: Ekonomi dunia dijangka kekal berdepan dengan krisis pada tahun ini, susulan kewujudan “gelembung” yang dibentuk hasil daripada suntikan wang yang besar di mana ia digunakan bagi memastikan sistem kewangan terus beroperasi.

Ketua Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), Pascal Lamy, ketika ditemuramah menerusi radio Perancis berhubung kemungkinan ekonomi dunia pulih tahun ini berkata, semua pihak perlu lebih realistik dan unjuran pemulihan tidak dapat dijamin.

“Tidak dapat dinafikan kita sudah berada di peringkat bawah, tetapi kelajuan yang perlu dihadapi tidak jelas.

“Selain kebanjiran wang awam terhadap ekonomi dan sistem kewangan, kita juga turut menghasilkan gelembung yang perlu diserap,” katanya.

Kerajaan di seluruh dunia sudah membelanjakan trilion dolar bagi tempoh 18 bulan lalu, iaitu bagi mengelakkan keruntuhan sistem kewangan dan seterusnya mencari jalan menangani kegawatan.

Pascal turut memberi penekanan terhadap kedinamikan kuasa ekonomi sedang meningkat seperti China, Brazil, India dan Afrika Selatan; dalam mengelakkan daripada terjerumus ke dalam krisis ekonomi lebih buruk.

“Ia adalah lebih dinamik, mudah dilaksanakan, negara kurang berhutang. Ia adalah negara yang dilihat beroperasi lebih baik berbanding ekonomi barat,” katanya. - AFP

No comments

Powered by Blogger.