PAS: Kerajaan perlu ajak parti politik, NGO runding isu kalimah ‘Allah’

PETALING JAYA, Jan 8 – PAS mahu kerajaan mengadakan perbincangan menyeluruh membabitkan parti-parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan untuk mencari penyelesaian muktamad berhubung polemik penggunaan kalimah “Allah” oleh akhbar mingguan Katolik Herald.

Ahli jawatankuasa pusat PAS Dr Mujahid Yusof Rawa berpendapat pihak berkuasa sewajarnya sudah memulakan langkah ke arah itu sekarang membabitkan kesemua pihak lebih-lebih lagi dengan perkembangan semasa yang menyaksikan tindakan menyerang tiga gereja di Lembah Klang sejak tengah malam tadi.

“Kami di PAS bersedia untuk berunding dengan mana-mana pihak sama ada Kristian ataupun masyarakat Melayu, kita sedia untuk berbincang untuk membincangkan isu ini,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Kata beliau usaha perlu diambil sekarang agar masalah yang wujud pada hari ini tidak berulang lagi pada masa-masa akan datang.

Petang tadi beberapa pertubuhan Islam akan mengadakan perhimpunan protes di ibu negara dan di seluruh negara berhubung keputusan mahkamah membenarkan Herald menggunakan perkataan “Allah” dalam terbitannya.

Perhimpunan itu diadakan di sebalik tindakan membakar tiga gereja masing-masing satu di ibu negara dan dua di Petaling Jaya.

Sehubungan itu kata beliau kerajaan harus bertanggungjawab terhadap kejadian hari ini.

“Kerajaan perlu memikul tanggungjawab penuh dengan keadaan hari ini,” katanya.

Awal minggu ini bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata penyelesaian kontroversi berkenaan kalimah “Allah” tidak boleh dicapai dengan membuat rayuan kepada mahkamah rayuan dan lunas perundangan semata-mata.

Menurut beliau, undang-undang tidak mengambil kira soal sensitif atau tidaknya sesuatu, soal mencetuskan ketegangan dan permusuhan antara penganut-penganut agama yang berlainan.

“Undang-undang mengutamakan maksud undang-undang sahaja,” kata beliau yang pernah mengetuai portfolio Kementerian Dalam Negeri.

Pada Dis 31, Hakim Lau Bee Lan membenarkan Gereja Katolik menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan mingguannya setelah beliau berpendapat bahawa setiap individu mempunyai hak berperlembagaan untuk menggunakan kalimah itu dan ia bukan eksklusif kepada umat Islam.

No comments

Powered by Blogger.