Hadi Kesal Serangan Gereja, Boleh Jejas Keharmonian

SHAH ALAM, 09 Jan - Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan kekesalannya ke atas serangan di beberapa gereja sekitar Selangor dan Lembah Klang dikhuatiri boleh mencetuskan ketengangan dan mengugat keharmonian masyarakat majmuk negara ini.

Hadi berkata, sekiranya serangan itu didalangi oleh orang Islam sendiri ia jelas bertentangan dengan ajaran Islam dan kelak menjejaskan martabat Islam di mata masyarakat bukan Islam.

“Saya merasa kesal daripada apa yang berlaku itu kerana bukan sahaja boleh menjejaskan hubungan antara kaum dan agama yang harmoni selama ini. Apa yang mendukacitakan sekiranya berlaku daripada orang Islam itu satu benda yang menyentuh ajaran Islam itu sendiri”, katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis Taklimat Isu-isu Penerangan Pas Pusat di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam, Shah Alam hari ini.

Hadi menggesa umat Islam kembali kepada mengamalkan ajaran agama sebenar yang menjamin kebebasan beragama sebagaimana yang ditunjukkan Rasulullah ketika menubuhkan negara Islam di Madinah yang terdiri pelbagai kaum dan agama.

Tambahnya, Islam menganjurkan konsep kebebasan beragama secara aman dan tidak memaksa dalam beragama malah pemerintah Islam wajib menjaga maslahat orang bukan Islam sama ada rumah ibadat mahupun harta bendanya.

“Islam membawa konsep tidak memaksa dalam beragama, dan konsep memberikan kebebasan kepada penganut-penganut agama untuk mengamalkan ajaran agama mereka termasuklah mendirikan gereja dan melakukan upacara ibadat bukan Islam menjamin kebebasan ini di masa perang”, jelas Hadi.

Dalam pada itu katanya, dalam usaha mengembalikan keharmonian antara kaum, Pas bersedia berdialog dengan mana-mana pihak khusus pihak gereja dalam mengatasi kemelut penggunaan kalimah Allah yang menyebabkan beberapa serangan ke atas rumah ibadat mereka semalam.

“Pas sedia berdialog dan menghadiri sebarang majlis untuk memberi kefahaman ini kepada rakyat dan kita mengharapkan supaya ruang diberi kepada Pas melalui media supaya kita menjelaskan hakikat ajaran Islam yang sebenar kerana selama ini ajaran Islam sendiri telah ditutup dan dikongkong oleh undang-undang yang ada dalam negara kita”, tegas Hadi lagi. - MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN

No comments

Powered by Blogger.