Penglibatan kerajaan negeri dalam YBK jamin ketelusan

SHAH ALAM : Keputusan Kerajaan Negeri Selangor untuk mengambil bahagian dalam operasi Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) adalah untuk memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam mengurus tadbir sumber negeri yang diserahkan kepada yayasan tersebut.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, "Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah membuat keputusan pada 20 Oktober lalu untuk melantik dua wakil daripada kerajaan negeri supaya duduk di dalam Lembaga Pengarah YBK.

"Mesyuarat juga mencadangkan supaya saya dilantik sebagai pengerusi YBK sementara Exco Selangor yang memegang portfolio kebajikan dilantik sebagai anggota lembaga, kata beliau dalam satu kenyataan.

Khalid berkata, keputusan ini diambil kerana kerajaan negeri khuatir dengan masalah ketelusan dalam memastikan sumber kewangan yayasan itu diurus tadbir dengan baik dan memberi manfaat kepada golongan miskin di Selangor. Sumber kewangan ini termasuk 448 ekar tanah di Serendah.

"Memandangkan kerajaan negeri telah memberi tapak tanah yang nilainya berjuta ringgit kepada yayasan tersebut, kami perlu memastikan orang miskin di Selangor mendapat faedah daripada penggunaan tanah tersebut," terang beliau.

Beliau berkata, "ni bukan keputusan bermotif politik, tetapi satu langkah untuk memastikan sumber negeri diuruskan dengan telus dan penuh tanggungjawab.”

Menurut beliau lagi, kerajaan negeri boleh mengambil bahagian dalam entiti bukan kerajaan yang menerima dana kerajaan. “Ini bukan konsep baru. Persatuan Bola Sepak Selangor juga bukan satu entiti kerajaan tapi ianya dipengerusikan oleh Menteri Besar, yang juga menerima dana kerajaan.”

Tambah Khalid lagi, pembabitan kerajaan negeri tidak akan mengganggu program membasmi kemiskinan di Selangor yang dijalankan oleh yayasan tersebut.

“Melalui kerjasama semua pihak, kami akan bertambah baik dan akan wujud ‘check and balance’. Malah dengan pembabitan Kerajaan Negeri, kami boleh memberi lebih banyak sumber kepada yayasan itu,” kata Menteri Besar.

"Kerajaan negeri berharap isu ini tidak akan dipolitikkan lagi kerana keputusan telah pun dibuat atas dasar kepentingan rakyat Selangor," katanya.

No comments

Powered by Blogger.