Kakitangan awam Kelantan perlu patuhi arahan istana

KOTA BHARU - Lebih daripada 2,000 kakitangan awam termasuk pegawai kanan persekutuan berhimpun untuk mendengar taklimat penerangan isu semasa dan perundangan negeri Kelantan berkaitan Istana Kelantan di Istana Balai Besar di sini, semalam.

Taklimat itu bertujuan menjelaskan pematuhan kepada Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Faris Pet-ra Sultan Ismail Petra sebagai Pemangku Raja berikutan timbul pelbagai arahan daripada kerabat Diraja Kelantan sebelum ini sehingga timbul kekeliruan banyak pihak.

Pengelola Istana Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad berkata, taklimat itu untuk meminta semua kakitangan awam mematuhi dan memahami arahan serta pekeliling yang dikeluarkan kerajaan negeri.

“Ada pihak yang tidak faham undang-undang negeri telah mengambil tindakan sehingga menimbulkan kekeliruan. Tindakan seumpama itu akan menjejaskan keharmonian negeri,” katanya ketika berucap pada Majlis Penerangan Mengenai Isu Semasa dan Perundangan Negeri Kelantan.

Turut hadir pada majlis itu, Setia-usaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan.

Kelmarin Sultan Kelantan, Istana Balai Besar mengeluarkan satu kenyataan berhubung pekeliling am Kerajaan Negeri bertujuan untuk memaklumkan kepada pegawai, kakitangan, rakyat dan mana-mana individu supaya tidak me-ngeluarkan sebarang kenyataan kepada media massa mengenai sebarang isu yang berkaitan dengan Istana Kelantan.:

Pekeliling itu menyatakan tiada mana-mana pegawai, kakitangan atau sesiapa jua dibenarkan untuk mengeluarkan atau membuat sebarang kenyataan kepada media massa sama ada atas kapasiti dirinya sendiri atau secara rasmi atau mengambil sebarang bentuk tindakan yang melibatkan urusan-urusan pentadbiran, pengurusan kewa-ngan ataupun hal-hal lain yang bersangkutan dengan nama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan, Pejabat Sultan Kelantan atau Istana Kelantan tanpa terlebih dahulu disembah maklum dan mendapat ampuni perkenan Yang Maha Mulia Pemangku Raja Ke-lantan terlebih dahulu.

Abdul Halim berkata, beliau berharap semua pihak memahami tindakan yang perlu diambil iaitu mengikut arahan yang telah dikeluarkan Setiausaha kerajaan negeri.

Tengku Temenggong, Tengku Muhammad Fakhry sebelum ini mengeluarkan surat bertajuk ‘Penyampaian Titah KDYMM Al-Sultan Kelantan’ untuk menarik pangkat datuk melibatkan beberapa tokoh yang menerima anugerah itu daripada Sultan Kelantan.

Istana Kelantan kemudian mengeluarkan kenyataan bahawa Tengku Temenggung tidak berhak mengikut Undang-undang Tubuh Negeri Kelantan untuk bertindak bagi pihak Sultan Ke-lantan yang kini menjalani rawatan di Singapura sejak Mei tahun lalu dan hanya Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra berhak sepenuhnya menyampaikan titah sepanjang ketiadaan baginda di negeri ini.

Masalah itu bermula apabila Sultan Kelantan berangkat menerima rawatan susulan di Singapura Mei tahun lalu dan putera sulung baginda, Tengku Muhammad Faris Petra dilantik sebagai pemangku raja.

Tengku Muhammad Faris kemudiannya mengambil beberapa tindakan termasuk melakukan rombakan dan menggugurkan keahlian anggota Majlis Perajaan Negeri yang turut melibatkan kedudukan adinda baginda, Tengku Temenggung Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry.

No comments

Powered by Blogger.