Kecaman Terhadap Serangan Ke Atas Rumah Peribadatan

Saya mengecam tindakan pihak tertentu yang menyerang beberapa gereja di sekitar lembah klang. Serangan keji sedemikian merupakan satu tindakan yang dikecam keras al Quran. Agama Islam jelas menggesa umatnya untuk menghormati rumah peribadatan penganut agama lain.

Sehingga kini saya difahamkan sebanyak tiga gereja dijadikan sasaran serangan. Manakala itu aras bawah Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati telah hangus terbakar akibat dari siri serangan tersebut. Saya menyatakan rasa syukur kerana serangan tersebut tidak mengakibatkan sebarang kemalangan jiwa.

Saya menyeru semua pihak agar bertenang dan jangan sesekali terjerumus ke dalam api kebencian. Sebarang tindakan tidak boleh sama sekali didasari politik perkauman sempit. Saya mempunyai keyakinan kita rakyat Malaysia akan menyelesaikan isu ini tanpa diiringi sebarang konflik. Inshaallah usaha kita untuk mengekalkan keamanan diberkati jua.

ANWAR IBRAHIM

No comments

Powered by Blogger.