Lagi pemimpin kecam bakar gereja

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 8 Jan: Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyertai para pemimpin Islam yang lain mengecam tindakan pihak tertentu yang menyerang beberapa gereja di sekitar Lembah Klang.

Sebelum ini Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi dan Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub mengecam keras tindakan itu.

"Serangan keji sedemikian merupakan satu tindakan yang dikecam keras Al-Quran. Agama Islam jelas menggesa umatnya untuk menghormati rumah peribadatan penganut agama lain," kata Anwar dalam satu kenyataannya.

Sehingga kini, beliau difahamkan sebanyak empat gereja dijadikan sasaran serangan.

Manakala itu aras bawah Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati telah hangus terbakar akibat dari siri serangan tersebut.

"Saya menyatakan rasa syukur kerana serangan tersebut tidak mengakibatkan sebarang kemalangan jiwa," kata Anwar dalam kenyataannya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar bertenang dan jangan sesekali terjerumus ke dalam api kebencian.

Sebarang tindakan tidak boleh sama sekali didasari politik perkauman sempit, katanya.

"Saya mempunyai keyakinan kita rakyat Malaysia akan menyelesaikan isu ini tanpa diiringi sebarang konflik. Insha-Allah usaha kita untuk mengekalkan keamanan diberkati jua," katanya.

Sementara itu, anggota Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud turut mengecam tindakan ini.

Bagi beliau tindakan ini adalah perancangan pihak tertentu untuk mengujudkan rasa tidak selamat serta ketegangan kaum dan agama di negara ini.

"Saya tidak menolak di belakang peristiwa sebegini adalah orang-orang tertentu dalam Umno selepas Umno sudah tidak mendapat sokongan terbanyak rakyat," katanya.

Bagi beliau, para pemimpin Umno sudah beberapa kali mengulangi peringatan kepada rakyat mengenai peristiwa 13 Mei dan mereka mahu rakyat menyokong mereka dengan cara menakut-nakutkan rakyat.

"Insiden kepala lembu adalah contoh usaha mereka yang gagal membangkitkan kemarahan rakyat Islam dan Hindu," kata Mariah yang juga AJK PAS Pusat.

Sehubungan itu beliau mengingatkan rakyat agar jangan terperangkap dengan agenda politik Umno dan BN yang sudah tidak mampu memikat rakyat dengan agenda 1 Malaysia.

Beliau juga memohon kepada umat Islam agar jangan melampau dalam tindakan terhadap agama lain kerana akhirnya akan menimbulkan kebencian penganut agama lain terhadap mesej keadilan yang dibawa oleh Islam.

"Ini bukan jihad, ini keganasan. Kalau hendak berjihad lengkapkan diri dengan ilmu Islam dan sedia berdakwah di mana sahaja dengan menjadi mubaligh Islam," katanya.

Beliau juga melahirkan rasa sedih dengan apa yang berlaku dan melahirkan rasa bersamaan beliau dengan mereka yang beragama Katolik.

Beliau juga meminta mereka bersabar dan bertenang serta tidak melatah dengan provokasi mereka yang tidak bertanggungjawab ini, katanya.

No comments

Powered by Blogger.