Kembalikan tanah kami

IPOH – Seramai 42 petani dari Kampung Timah, Tanjung Tualang Perak menggesa Kerajaan Negeri membantu menyelesaikan masalah tanah yang dihadapi sekali gus memberi hak milik tanah berkenaan kepada mereka menerusi satu memorandum yang diserahkan ke Pejabat Menteri Besar di sini, kelmarin.

Difahamkan, tanah bekas lombong seluas 80 hektar itu telah diteroka golongan petani dan penternak di kawasan berkenaan sejak tahun 80-an dan sehingga kini pelbagai aktiviti pertanian serta penternakan seperti kelapa sawit, penternakan ikan, lembu dan itik telah diusahakan oleh penduduk setempat.

Bagaimanapun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, wujud pihak yang mendakwa bahawa tanah berkenaan adalah milik persendirian dan petani serta penternak di sini tidak lagi dibenarkan memasuki ke kawasan pertanian yang telah diusahakan oleh mereka selama ini.

Perkara berkenaan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk yang mahukan kawasan berkenaan menjadi milik mereka kerana ianya telah pun mendapat kelulusan pihak Pejabat Tanah dan Daerah berhubung kebenaran mengeluarkan hasil pertanian.

Wakil penduduk, Tan Tok Hiang, 60, berkata, masalah berkenaan mengakibatkan penduduk di sini hampir kehilangan sumber pendapatan apabila tidak lagi dapat menjalankan aktiviti pertanian dan penternakan seperti biasa.

Menurutnya, ini pastinya memberi kesan yang besar terhadap faktor ekonomi di kawasan berkenaan yang sebahagian besarnya adalah golongan petani dan penternak.

“Penduduk di sini kebanyakannya adalah golongan petani dan penternak yang telah mendiami kawasan ini sejak tahun 80-an dahulu.

“Ada juga penduduk yang mendiami kawasan berkenaan dengan kebenaran pemegang lesen perlombongan di sini bertujuan bagi menjalankan pelbagai aktiviti pertanian.

“Tetapi, kemunculan pihak yang mendakwa tanah berkenaan adalah miliknya baru-baru ini, menyebabkan kami terpaksa bersuara bagi mendapatkan hak milik tanah di sini bagi meneruskan aktiviti pertanian di sini.

“Oleh itu, kami amat berharap agar perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin demi kebaikan bersama,” katanya.

Menurut sumber, perkara itu juga telah diajukan kepada beberapa organisasi kerajaan seperti Jabatan Pertanian Negeri, Penjabat Tanah dan Galian, Jabatan Perikanan Negeri, Jabatan Mineral dan Geosains serta Jabatan Alam Sekitar bagi mendapat sokongan selain menjemput mereka menganjurkan lawatan ke kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, petani dan penternak di sini agak terkejut apabila pihak PTG memaklumkan bahawa permohonan penduduk itu ditolak dengan alasan kawasan berkenaan telah pun diluluskan kepada agensi kerajaan bagi ternakan dalam air, tanaman buah-buahan serta sayuran-sayuran.

Seorang lagi penduduk, Hoo Sing Kok, 41, pula berpendapat bahawa mereka (golongan petani dan penternak) sewajarnya mendapat hak milik bagi mendiami kawasan berkenaan kerana telah bermastautin dan mengusahakan tanah di sini.

Sing Kok berkata, pihak penduduk juga bersedia untuk membuat bayaran bagi memperolehi hak milik untuk mendiami tanah berkenaan.

“Kami harap masalah ini dapat diselesaikan dengan baik kerana banyak perbelanjaan telah dilaburkan bagi membangunkan serta mengusahakan kawasan ini,” katanya.

Sementara itu, Ahli Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM), Segar @ Kunasekaran, berharap agar perkara berkenaan dapat diselesaikan segera oleh pihak yang berkenaan kerana ianya melibatkan sumber pendapatan serta kediaman bagi penduduk di kawasan berkenaan.

Katanya, pihak Kerajaan Negeri diharap dapat membantu bagi memastikan tanah berkenaan dapat diberi semula kepada pihak petani serta penternak di sini.

“Memorandum berkenaan telah pun diserahkan kepada Pegawai Khas Menteri Besar dan diharap ianya diberi perhatian bagi mengembalikan hak milik tanah berkenaan kepada golongan petani dan penternak di sini,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.