Kenapa kelirukan orang Islam dan Kristian - Haron Din

Azmi Yusof

BANGI, 5 Jan: Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din melahirkan rasa terkilan dan tidak bersetuju dengan kebenaran penggunaan kalimah Allah pada akhbar mingguan Gereja Katholik, Herald – The Weekly dalam penerbitannya.

Ini, katanya kerana amalan dominan dalam agama Kristian bukannya Allah tetapi adalah God atau Lord yang diamalkan selama ini.

Beliau merujuk kepada Holy Bible di mana pada ayat pertama menggunakan perkataan God dan di bawahnya terdapat 31 kali perkataan itu manakala pada halaman berikutnya menggunakan perkataan Lord dan Jesus.

“Sepanjang dalam Bible ini tak bertemu perkataan Allah,” ujarnya sambil menunjukkan Holy Bible pada sidang media yang diadakan di kediamannya di sini, petang semalam.

Ini, jelasnya berlainan dengan al-Quran yang dimulakan dengan nama Allah, Tuhan yang Maha Pengasih dan Penyayang.

Beliau mengambil contoh di mana di dalam surah al-Baqarah terdapat 279 kali perkataan Allah daripada 286 ayat manakala di dalam surah al-Mujadilah yang mengandungi 22 ayat pula terdapat 34 kali sebutan Allah.

“Dalam amalam Islam, Allah bersama dengan kita pada bila-bila masa dan semua perbuatan dengan nama Allah,” ujarnya yang terpanggil untuk menjelaskan perkara itu secara peribadi kerana keputusan berhubung penggunaan perkataan Allah pada Herald – The Weekly masih belum muktamad.

Tambahnya, di dalam Islam, kanak-kanak yang baru dilahirkan diperdengarkan dengan nama Allah manakala orang yang menghampiri kematian juga perlu menyebut nama Allah.

Beliau turut melahirkan kebimbangan jika penerbitan akhbar mingguan Gereja Katholik itu dibenarkan menggunakan perkataan Allah, ia mungkin diikuti dengan perkataan itu diletakkan di dalam gereja.

“Atau mungkin di atas perkataan Allah, di bawah ‘Isa’ disalib atau badan ‘Isa’ yang disalib diletakkan perkataan Allah atau diletakkan kalimah Allah pada kayu salib,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak termasuk Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama supaya tidak memandang ringan perkara itu sebaliknya perlu melihat dengan serius dan cepat bertindak dengan fakta yang nyata.

Beliau juga berharap jika pihak terbabit mempunyai niat yang baik dengan penggunaan kalimah Allah supaya tidak meneruskannya dalam jangka masa pendek manakala dalam jangka masa panjang mendatangkan keburukan kepada Islam.

“Kalau tak ada kebaikan, timbul keburukan kepada kita dalam negara yang harmoni, yang mengundang suasana bahaya dalam negara. Demi kebaikan negara, jangan ketengahkan hal-hal begini,” ujarnya.

Tambahnya, jika perkara itu adalah isu agama, maka tempat penyelesaiannya ialah di Mahkamah Tinggi Syariah.

“Mengapa tidak dibawa ke Mahkamah Tinggi Syariah, kes ini bukan di mahkamah sivil, bukan bidang kuasa sivil,” katanya.

Begitupun, baginya perkara itu adalah lebih baik tidak dibawa ke mahkamah.

No comments

Powered by Blogger.