Memahami konteks, suasana masyarakat asas keharmonian negara

Oleh DR. SAODAH ABD. RAHMAN

SETIAP manusia yang diciptakan oleh Allah di muka bumi berasal daripada keturunan Adam dan Hawa. Mereka mempunyai bentuk tubuh badan dan cita rasa yang sama iaitu ingin kebahagiaan dan ketenteraman dalam kehidupan seharian di muka bumi ini. Perbezaan setiap individu manusia adalah berdasarkan kepada perbezaan kepercayaan dan budaya. Setiap golongan yang mempunyai persamaan agama dan budaya merasai ikatan persaudaraan mereka adalah terlalu kukuh yang mana boleh diibaratkan sebagai saudara sesama agama dan budaya.


Perasaan begini merupakan fitrah ciptaan manusia di muka bumi. Setiap golongan merasai bahawa kepercayaan dan budaya mereka adalah yang paling baik dan sempurna. Masing-masing ingin menambahkan bilangan saudara sesama agama dan budaya dengan menggunakan pelbagai cara dan aktiviti. Konteks suasana dan budaya masyarakat setempat patut dijadikan sebagai asas untuk menentukan kegiatan keagamaan dan kebudayaan.

Perkara-perkara berkaitan dengan keagamaan memerlukan kepada perbincangan dan dialog secara berhemah di kalangan penganut agama supaya setiap permasalahan berkaitan dengan isu agama dapat diselesaikan secara damai dan bijaksana. Tokoh-tokoh agama yang berbeza kepercayaan dan tradisi sepatutnya sering bertemu untuk membicarakan isu-isu keagamaan yang boleh mengeliru penganut agama masing-masing.

Islam menggalakkan umatnya supaya berdailog dengan penganut agama lain dengan tujuan untuk menjelaskan kepada mereka konsep kepercayaan Islam dan perkara-perkara yang tidak boleh berkompromi dengan agama lain. Misalnya perkara berkaitan dengan akidah sama sekali tidak dibenarkan berkompromi dengan agama lain. Islam memberi kebebasan kepada umatnya supaya bekerjasama dengan penganut agama lain dalam soal kemasyarakatan, ekonomi, politik dan hal ehwal kenegaraan.

Masyarakat Malaysia yang mempunyai pelbagai agama dan kaum merupakan pengamal agama. Oleh itu majoriti rakyat Malaysia ialah masyarakat beragama bukan sekular seperti mana wujud dalam negara komunis dan kebanyakan negara Barat. Berdasarkan kepada konteks masyarakat begini maka corak pemikiran dan tradisi masyarakat Malaysia tidak boleh disamakan dengan masyarakat daripada negara lain.

Masyarakat Malaysia mampu kekalkan keamanan dan keharmonian kaum berpuluh tahun lamanya kerana setiap penganut agama menghormati dan memahami sensitiviti penganut agama lain. Masyarakat Islam di Malaysia dikenali sebagai penganut Islam yang amat prihatin terhadap perkara berkaitan dengan ritual/ibadah dan tradisi agama. Mereka mempercayai bahawa perkara-perkara berkaitan dengan akidah Islam dan ritual adalah eks-klusif/khusus dan suci.

Masyarakat Islam menyedari bahwa proses globalisasi yang wujud dalam dunia masa kini merupakan salah satu faktor yang boleh menghakiskan akidah dan identiti Islam. Konsep penyatuan agama yang diperjuangkan oleh beberapa penganut agama di dunia masa kini seperti menggabungkan pengajaran setiap agama dalam agama mereka yang dikenali sebagai golden rules tidak dapat diterima oleh umat Islam.

Golden rules yang dijadikan sebagai satu prinsip untuk mewujudkan keharmonian beragama yang dianuti oleh golongan tertentu tidak mungkin dapat meresapi dalam ajaran Islam kerana perkara-perkara akidah dan ritual adalah terlalu eksklusif bagi umat Islam. Sikap umat Islam yang amat prihatin dalam aspek akidah dan ritual sepatutnya dihormati oleh penganut agama lain kerana umat Islam sanggup mengorbankan harta dan nyawa untuk mempertahankan akidah dan ibadah mereka kepada Allah.

Sifat ketaatan umat Islam terhadap Allah dan mengamalkan setiap aspek berkaitan dengan ibadah merupakan ciri-ciri utama umat Islam di negara ini. Penghormatan yang tinggi terhadap agama Islam jelas dipertonjolkan apabila urusan berkaitan dengan keagamaan adalah dalam bidang kuasa sultan yang dianggap sebagai orang yang berkuasa dalam negara.

Fakta sejarah perlu dijadikan sebagai asas dalam menentukan setiap perubahan dalam perundangan dan tuntutan. Kurang kefahaman terhadap sejarah negara juga boleh memungkinkan masyarakat dalam negara ini kurang peka terhadap sensitiviti umat Islam. Sejarah menunjukkan umat Islam negara ini mempunyai sikap toleransi yang tinggi terhadap bukan Islam selama mana agama dan adat istiadat mereka tidak tercemar.

Umat Islam juga perlu menghormati agama lain dan berurusan dengan mereka secara hikmah dan bijaksana. Islam adalah agama yang amat prihatin terhadap keamanan dan keharmonian. Prinsip ini sepatutnya dijadikan amalan umat Islam supaya keindahan Islam dapat digambarkan melalui personaliti umat Islam.U/M

Penulis ialah Pensyarah Kanan Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

No comments

Powered by Blogger.