Mendapan dan Keretakan Tidak Jejas Struktur Bangunan Desa Mentari

Jaminan diberikan kepada penduduk Desa Mentari, Petaling Jaya, rumah mereka selamat untuk didiami.

Demikian ditegaskan Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad.

Ini lanjutan rungutan penduduk di situ yang mengutarakan keluhan kepada Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin.

Sementara itu Iskandar menambah pihaknya sudah pun mengadakan lawatan tapak pada pertengahan tahun lepas sejurus mendapat aduan orang ramai.

Pemeriksaan teknikal dijalankan jurutera Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Didapati mendapan tanah membabitkan laluan pejalan kaki serta tidak menjejaskan struktur bangunan itu.

“Mendapan itu adalah tidak memberi kesan kepada struktur bangunan, sebab yang kita lihat yang mendap itu adalah di kawasan laluan, jadi apabila tanah itu mendap, bahawa kawasan laluan juga akan retak dan mendap, bukan bangunan yang retak tetapi adalah kawasan laluan itu”, ujarnya Iskandar.

Beliau berkata demikian kepada Tv Selangor ketika dihubungi di Shah Alam hari ini.

Jelas Iskandar lagi, kerajaan negeri mungkin menggunakan kaedah ‘non-suspended slap’ bagi mengatasi mendapan ini yang dapat mengelakkan retakan dan mendapan laluan terbabit.

Selain mendapan, masalah retakan dinding bangunan juga tidak melibatkan struktur utama bangunan terbabit.

Keretakan yang dikesan hanya menjejaskan plaster luaran semata-mata.

Di samping itu, masalah kerosakan lif sedang diatasi kerajaan negeri dengan mengadakan perbincangan bersama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor berikutan kerja penyelenggaraan dibuat PKNS.

“Bagi rumah-rumah kos rendah, penyelenggaraan lif dilakukan oleh PKNS, mungkin PKNS akan tubuh satu badan atau satu syarikat untuk mengambilalih penyelenggaraan baik pulih lif-lif terutamanya di rumah-rumah kos rendah, sebab rumah-rumah kos rendah dalam skala yang kecil, kita lihat ia terlalu tinggi untuk kita panggil syarikat-syarikat berasingan”, jelasnya lagi.

No comments

Powered by Blogger.