Misbahul Munir jawab tuduhan

SELEKOH - Disebabkan sebuah gambar yang memperlihatkan seorang pimpinan Pas Negeri Perak seolah-olah bersalaman dengan seorang wanita bukan muhrim, kini ia menjadi isu hangat diperkatakan oleh banyak pihak.

Setiausaha Pas Negeri Perak, Misbahul Munir Masduki berkata, gambar yang diambil dari blognya itu sengaja dijadikan isu oleh pihak berkepentingan yang mahu memburuk-burukkan imej Pas.

Menurutnya, kini timbul persepsi pimpinan PAS boleh menghalalkan apa sahaja jika mereka yang melakukannya dan haram jika pemimpin UMNO melakukan perbuatan tersebut sedangkan perkara itu tidak pernah berlaku.

“Saya nak jelaskan isu ini kerana penulis blog dan pengunjungnya dalam ruangan komen memberi persepsi negatif terhadap gambar yang diambil dari blog saya sendiri.

“Sebenarnya saya tidak menjamah dan memegang pun tangannya. Saya sekadar menghulurkan sebuah sampul surat yang berisi sumbangan ke tangannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Beg Sekolah bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rungkup yang berlangsung di Markas Pas Bagan Datoh, di sini, kelmarin.

Menurutnya, gambar berkenaan diambil ketika beliau berkunjung ke rumah keluarga mangsa bunuh di Kampung Sungai Tiang Tengah, di sini dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga itu.

Beliau berkata, ada pihak yang cuba menimbulkan fitnah kononnya beliau bersalam dengan wanita bukan muhrim dan berbangsa Cina sedangkan beliau adalah pemimpin Pas.

Misbahul Munir berkata, gambar berkenaan kelihatan seolah-olah bersalaman dengan wanita bukan muhrim kerana wanita itu sukar untuk mengangkat tangannya yang sakit.

Menurutnya, berdasarkan maklumat daripada rakannya, kunjungan Misbahul bersama pimpinan Pas Kawasan Bagan Datoh yang lain buah mulut masyarakat Cina di situ terutama kaum keluarga mangsa yang memuji langkah Pas menziarahi keluarga mereka.

Beliau berkata, isu ini tidak sepatutnya diperbesarkan untuk kepentingan politik sedangkan ia sengaja direka bagi tujuan tertentu mahu merosakkan nama baiknya dan Pas.

No comments

Powered by Blogger.