Mungkinkah Islam itu 'progresif'?

Fathi Aris Omar

Progresif, atau progress itu sendiri, sulit untuk didampingkan dengan Islam – sekurang-kurangnya pada seseorang yang yakin Islam itu "satu" dan "abadi".

Sebarang penambahan kata sifat di belakang perkataan Islam akan dicurigai.

Bagi mereka, mungkin, "Islam progresif" satu lagi jelmaan untuk mencairkan Islam atau adjektif yang sia-sia kerana agama Allah ini sudah sentiasa progresif, atau mempunyai ciri-ciri boleh maju, menyesuaikan dengan persekitaran zaman, dan tidak statik.

Lihatlah rentang waktu dan rentas sempadan yang pernah agama ini lalui.

Apakah yang disebut "Islam yang progresif" itu suatu percubaan untuk mencari yang unggul daripada ajaran yang sudah sedia unggul?

Tidakkah cukup keunggulan yang diwahyukan kepada Muhammad, dan disarankan oleh sejumlah tokoh ulama klasik, sehingga beberapa manusia kerdil saat ini harus mengulangkaji pemikiran Islam dan mereformasikan kefahamannya yang ditampalkan dengan istilah "progresif"?

Apakah (atau, siapakah) yang tidak "progresif" – agamakah atau penganutnya, atau pembicara yang mengajak umat Islam menganut fahaman agama yang progresif?

Kadang-kadang lebih mudah membiarkan perkataan Islam tanpa adjektif tambahan.

Lebih mudah menafsirkan Islam ala fundamentalis atau kelompok radikal tetapi mengekalkan label Islam – walaupun kandungan agama itu sudah terlalu tebal dengan fundamentalisme dan radikalisme.

Sebab itu, kumpulan-kumpulan agama dengan kecenderungan fundamentalisme atau radikalisme, malah yang menganjurkan terorisme, tidak ghairah menambah kata sifat di belakang nama Islam.

Mereka sewenang-wenangnya merampas kandungan agama dan menuangkan isi baru mengikut tafsiran dan kepentingan mereka, sama ada politik, ekonomi atau ideologi.

Apatah lagi, keupayaan intelektualnya tidaklah terlalu canggih untuk merombak, dan menganalisis, kerosakan dalam kehidupan beragama – lalu ditawarkan sejumlah analisis permukaan dengan jawapan selapis tetapi, yang maha penting, retorikanya memadai untuk memancing kekuatan pengaruh dan memberi dampak emotif.

Lagipun sebagai gerakan transformasi sosial, dengan nafas politik, penerimaan massa sebagai common denominator selalu dalam agenda pemikir dan penyebar faham agama ala fundamentalisme dan radikalisme.

Dengan itu, menjadi suatu tanggungjawab baru oleh seseorang yang melihat kelemahan tersebut – jika fundamentalisme dan radikalisme ditanggap sebagai kelemahan – untuk masuk dan bertarung dalam wilayah kefahaman, dan penghayatan, beragama tersebut.

Tugas yang akan dipersulitkan apabila panji-panji "progresif" dijulang tinggi-tinggi sewaktu mendekati kubu kefahaman dalam wilayah fundamentalisme dan radikalisme.

Lebih mudah bersaing, dan berdebat, tentang Islam sebagai seorang rakan daripada dilihat sebagai "orang asing" – apatah lagi orang luar yang datang dengan sejumlah keasingan idea yang kompleks untuk dimengertikan.

Hakikatnya, semua gerakan reformasi agama bermula dengan unsur keasingannya dalam wilayah keselesaan manusia ramai.

Hanya seseorang maverick yang boleh memahami luahan baru fikiran agama yang progresif, sementara si laggard akan berada di penghujung kesedaran, di sisi bertentangan sebuah loceng – jika graf loceng perubahan sosial kita lakarkan untuk menggambarkan tingkat-tingkat dan tempoh penerimaan terhadap sesuatu idea.

Terus-terang sahaja, saya sentiasa berat hati dengan label.

Dan, sering pula saya kaitkan label dengan perbezaan dan pembezaan – dua hal, dan tindakan, yang tidak selalu menguntungkan, malah mungkin lebih banyak merugikan, dalam tindakan mereformasikan fikiran agama.

Ia seolah-olah menebalkan tembok penolakan, melebarkan jurang kecurigaan. Sering label baru – biarpun asalnya tidak ada – ditampalkan dengan konotasi negatif, adil atau tidak, untuk menajamkan perbezaan dan mengeraskan pembezaan.

Label, pada dasarnya suatu tindakan berpolitik, walaupun proses penamaan dalam berbahasa suatu tindakan yang semula jadi dan spontan tetapi dalam wilayah persaingan sosial, label diolah dengan selera politik.

Label menjadi jalan pintas untuk identifikasi segera, tanpa peduli lagi simplistic atau tidak, untuk pengecaman deras kepada pengikut-pengikut yang terlupa berfikir panjang dan lupa berinteraksi dengan jujur.

Label, seperti panji-panji perang, akhirnya menjadi pelawaan untuk bermusuh.


Artikel ini merupakan sedutan sebuah makalah tentang isu-isu reformisme Islam masa kini yang penulis ini sedang usahakan.

No comments

Powered by Blogger.