Agama mampu tangani perzinaan remaja

KOTA BHARU – Peningkatan jumlah kes rogol di Kelantan tahun ini menunjukkan berlakunya kes perzinaan melibatkan remaja.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita Keluarga dan Kesihatan, Wan Ubaidah Omar berkata, berdasarkan keterangan yang diberikan oleh pihak kesihatan sebanyak 99 peratus adalah kes rogol.

Menurutnya, biarpun ia dilakukan suka sama suka atau sebaliknya ia tetap dianggap sebagai rogol.

“Kes rogol ini menunjukkan berlakunya perzinaan dalam kalangan remaja dan ibu bapa perlu memberi penekanan lebih tegas kepada anak-anak mereka.

“Berilah mereka didikan agama supaya mereka merasa takut untuk melakukan perbuatan yang terkutuk, ajar mereka melihat rancangan agama,” katanya kepada Sinar Harian semalam ketika diminta mengulas berhubung peningkatan kes rogol di negeri ini.

Kelmarin, Ketua Polis Kelantan, Datuk Rahim Hanafi menyebut jenayah rogol di negeri ini menunjukkan peningkatan sebanyak 26 peratus pada tahun lalu berbanding tempoh yang sama pada tahun 2008.

Lebih mengejutkan kes berkenaan melibatkan 60 peratus remaja di bawah umur dan mengikut statistik polis, 23 mangsa yang terlibat berusia di bawah 12 tahun, 165 mangsa berusia di antara 13 sehingga 16 tahun dan selebihnya berusia 16 tahun ke atas.

Rekod menunjukkan sepanjang tempoh Januari sehingga Disember tahun lalu sebanyak 313 kes dilaporkan berbanding 250 kes pada tahun sebelumnya dan peningkatan sebanyak 63 kes.

Wan Ubaidah berkata, perzinaan berkenaan diketahui oleh ahli keluarga setelah ada dalam kalangan anak-anak yang mengandung.

“Ibu bapa perlu jaga anak-anak mereka, kawal pergaulan dan dedahkan mereka dengan keagamaan.

“Jangan terlalu sibuk dengan tugasan sehingga anak-anak lalai dengan dunia mereka dan berlakunya perzinaan sehingga melahirkan anak,” katanya.

Menurutnya, perhatian oleh ibu bapa perlu menyeluruh dan tidak hanya diberikan semasa mereka kecil sahaja.

“Ketika usia anak-anak meningkat dewasa ibu bapa perlu lebih mendekati anak-anak, cuba periksa telefon bimbit mereka kerana pelbagai faktor boleh mendorong berlakunya perzinaan.

“Sekarang ini pelbagai rakaman yang terdapat di dalam telefon bimbit anak-anak sehingga membawa kepada kemungkaran dan ibu bapa kena bertindak lebih bijak daripada mereka,” katanya

sinar harian

No comments

Powered by Blogger.