Tangguh Bina LRT, Kaji Semula Jajaran

SHAH ALAM, 21 Jan - Cadangan pembinaan stesyen LRT yang menghubungkan Kelana Jaya, Putra Heights dan Shah Alam mendapat tentangan rakyat Selangor kerana lokasinya tidak relevan.

Ia juga dikatakan tidak memberi manfaat sepenuhnya kepada golongan berpendapatan rendah.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sri Muda, Mat Shuhaimi Shafie yang ditemui menyuarakan aduan rakyat kawasannya yang mahu Syarikat Prasarana Negara Berhad mengkaji semula jajaran LRT tersebut yang didakwa dibina dalam kawasan perumahan elit.

Beliau mahu projek pembinaan stesyen LRT itu memberi manfaat sepenuhnya kepada golongan kebanyakan sekaligus boleh mengurangkan kesesakan jalan raya yang teruk di Lembah Klang.

“Cadangan yang dikemukakan oleh mereka pada hari ini mendapat tentangan penduduk, jadi saya harap sangat Dato’ Menteri Besar dapat menggunakan kuasa sebagai orang nombor 1 di negeri Selangor untuk memaksa Prasarana ini mengkaji jajaran mereka supaya jajaran itu tidak menjejaskan laluan ataupun ketenangan penduduk-penduduk tetapi ia lebih banyak memberi manfaat kepada pengguna-pengguna”, katanya kepada pemberita SelangorKini.

Beliau bercakap demikian kepada ketika ditemui di pejabatnya di Kota Kemuning baru-baru ini.

Shuhaimi menambah, usaha kerajaan pusat untuk menambahbaik dan menyebar luas rangkaian sistem pengangkutan negara memang dialu-alukan.

Bagaimanapun ia seharusnya mengutamakan kebajikan rakyat bukannya kepentingan politik Umno-BN dan keuntungan semata-mata.

Antara cadangan jajaran laluan LRT yang dikemukakan SPNB ialah Kelana Jaya, Putra Heights, Seksyen 27 dan 28 serta Subang Alam di Shah Alam.

“Permasalahan LRT yang menghubungkan Kelana Jaya, Putra Heights dan Shah Alam, saya minta sangat Dato’ Menteri Besar Selangor menggunakan kuasa yang ada untuk menyekat Syarikat Prasarana Negara Berhad ataupun SPNB untuk menangguhkan dulu pembinaan LRT yang menghubungkan Kelana Jaya, Putra Heights, Seksyen 27, 28 Shah Alam dan Subang Alam di Shah Alam sehingga kajian menyeluruh dibuat berhubung dengan jajaran yang boleh membantu menguntungkan Syarikat Prasarana dan juga membantu mengurangkan kesesakan di jalan raya”, jelasnya lagi.

Dalam pada itu katanya, stesyen LRT terbabit perlu dibina dalam kawasan perumahan orang kebanyakan bukannya kawasan orang kaya yang jelas tidak memerlukannya.

“Stesyen cadang nak dibina ia dibina dalam kawasan elit, jadi sepatutnya yang mengguna LRT ini ialah orang kebanyakan, tapi kalau LRT itu dibina dalam kawasan perumahan orang-orang kaya, ia tak sesuai, sebab orang kaya takkan guna LRT, yang nak stesyen ini ialah orang-orang pekerja kilang dan mereka yang di peringkat pertengahan”, ujarnya. - MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN

No comments

Powered by Blogger.