Bila Politik Kotor DiLakukan Oleh Ahli Politik Kotor….

Oleh: Shirzad Lifeboat

Banyak sudah diperkatakan tentang prospek bakal menanti UMNO-BN dalam pilihanraya umum ke-13 akan datang yang perlu diadakan selewat-lewatnya pada tahun 2013. Campur kiri tolak kanan, congak bagai nak rak sekalipun dan pakailah segala sifir politik, semuanya hanya menjurus kepada satu jawapan: bahawa tidak ada caranya BN akan memenanginya dengan jalan biasa.

Betapa hal ini disedari oleh pemimpin UMNO-BN sendiri dan para perancang strategi mereka apabila dua senjata ampuh yang digunakan dalam pertarungan yang setidak-tidaknya dilihat sebagai fairplay atau adil sudah menjadi ibarat pedang berusia lebih dari setengah abad yang sudah tumpul dan berkarat tetapi masih mahu digunakan untuk mengerat leher atau apa sahaja yang perlu dikerat.


Senjata pertama ialah janji pelbagai projek. Modal ini sudah basi. Senjata kedua ialah pencanangan budi demi meyakinkan pengundi yang juga tidak lagi dibeli oleh pengundi dan rakyat. Tapi itu bukanlah penghujung cerita buat UMNO-BN. Bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga, kedudukan nyawa-nyawa ikan parti tersebut di`telur-dihujung-tanduk`kan lagi oleh kemelut demi kemelut yang melanda parti serta kepakpandiran kerajaan dalam pentadbiran – PKFZ, enjin pesawat hilang, rahsia ATM dijual, kapal selam tak boleh menyelam, bumbung stadium roboh, keengganan memberikan Kelantan royalti minyak dan macam-macam lagi – sehinggakan sekiranya parti tersebut menempah semua halaman akhbar arus perdana dari kini hingga tarikh pembuangan undi pilihanraya umum ke-13 kelak, hanya mereka yang akal kebijaksanaannya agak terencat sahaja yang akan mengatakan UMNO-BN telah melakukan terbaik untuk negara dan rakyat.

Itu belum lagi dipersoalkan tentang tahap amanah di kalangan pemimpin, tentang rasuah dan perihal lain. Itu cerita lain.

Bohonglah kalau ada orang yang berkata bahawa dalam masa 45 tahun menguasai kerajaan, UMNO-BN tak berbuat apa-apa untuk negara dan rakyat. Benar. Memang banyak yang dilakukan oleh UMNO-BN untuk negara dan rakyat.

Tapi itu cerita dulu. Hari ini budaya UMNO-BN sudah berubah 360 darjah. Tak usahlah pemimpin mereka nak bercerita tentang reformasi kerana ia hanyalah mimpi di siang hari.

Justeru tindakan paling logik untuk dilakukan ialah menggunakan agensi perkhidmatan awam dan suruhanjaya tertentu serta media perdana bagi menggambarkan kononnya banyak sangat kelemahan yang dilakukan oleh kerajaan negeri di bawah pentadbiran Pakatan.

Maka keluarlah cerita pembelian bendera tanpa resit di Selangor serta lain-lain cerita dongeng. Ketua Menteri Pulau Pinang pula digambarkan sebagai anti-Islam dan macam-macam lagi.

Di barisan lain, isu Allah diharapkan akan merosakkan ukhwah Pakatan. Ini kerana telah dicongakkan sementara PKR secara umum dapat menerima keputusan mahkamah mengenai penggunaan kalimah Allah tersebut, PAS pula sudah tentu akan menentangnya secara-cara habis-habisan.

Itu juga tidak mendatangkan hasil sebagaimana yang dihasratkan. Namun begitu ia sedikit sebanyak dapat dijadikan alasan oleh sesetengah pemimpin PKR berserta alasan lain bagi meninggalkan parti mereka bagi menjadi calon bebas.

Tatkala rencana ini ditulis orang sudah sibuk bercakap tentang tiga orang pembuat undang-undang yang telah mengambil keputusan berpatah arah berkerat rotan dengan parti mereka, PKR untuk menyertai senarai kecil Ahli Parlimen Bebas. Jumlahnya mungkin bertambah apabila Harakah edisi ini menemui pembaca di pasaran.

Sudah tentu mereka yang berbuat demikian memberikan seribu satu alasan. Tetapi, sebagaimana yang telah dispekulasikan. menanti di seberang sana ialan UMNO-BN yang amat mengalu-ngalukan tindakan mereka. Malah sudah kedengaran desas-desus mengatakan UMNO-BN memperuntukkan sebanyak RM50 juta bagi memastikan berlakunya lompatan katak-katak politik.

Sudah tentu mereka tidak akan menyertai UMNO dan sudah tentu UMNO tidak akan sebegitu bebal menerima mereka. Ini bagi menunjukkan UMNO tidak ada kena mengena dengan tindakan mereka meninggalkan PKR.

Namun apa yang jelas ialah mereka yang meninggalkan PKR itu adalah mereka yang falsafah perjuangan politiknya dua kali lima dengan kebanyakan pemimpin UMNO-BN. Ada yang meninggalkan PKR setelah tak dapat projek penyenggelaraan padang golf, ada yang kerana tak dapat menjadi CEO sebuah badan yang kerajaan negeri memiliki kuasa penuh ke atasnya dan ada kerana tak dapat peruntukan Parlimen.

Bagi mereka wang adalah perjuangan. Justeru ada hikmanya juga apabila isu Allah ini ditimbulkan kerana akhirnya mereka yang tidak menjalankan amanah rakyat secara lillahi-Ta’ala terasa panas punggung dan meninggalkan PKR.

Benarlah sebagai kata mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi, andainya mereka yang meninggalkan PKR dan menyertai UMNO-BN sekalipun, maka ia tidak akan mengukuhkan parti kerajaan. Itu semua orang tahu.

Tetapi agenda terpenting bukan untuk mengukuh UMNO-BN tetapi memastikan UMNO-BN kembali berkuasa pada pilihanraya umum 13 kelak. Jika gagal, bayangkan apa akan terjadi kepada semua pemimpin mereka sekiranya kerajaan Pakatan mengarahkan semua agensi penyiasatan kerajaan menjalankan siasatan penuh kepada setiap pemimpin UMNO-BN sewaktu mereka menjawat jawatan kerajaan.

Inilah satu-satunya perkara yang cukup menghantui. Ia bukan sekadar pencen dari jawatan tetapi terpaksa pula menghadapi pelbagai siatan dan mungkin juga dakwaan tatkala kuasa politik tidak lagi dapat membantu menyelamatkan mereka.

Justeru, perkara selanjutnya yang perlu dilakukan ialah membolehkan mereka mempengaruhi 2/3 dari keanggotaan Parlimen bagi membolehkan pindaan terhadap persempadanan semula diluluskan. Hanya cara persempadanan semula inilah sahaja yang merupakan pertolongan terakhir untuk UMNO-BN setelah semuanya gagal dan apa yang cuba dilakukan kini tidak nampak akan membuahkan hasil sebagaimana dihasratkan.

Perlu dinyatakan di sini bahawa sementara persempadanan semula perlu dilakukan namun ia bukanlah sesuatu yang perlu dilakukan dengan terlalu kerap. Kritikan terhadap amalan ini di negara lain menunjukkan betapa persempandan semula telah digunakan bagi parti yang menguasi kerajaan bagi mendapatkan kelebihan pilihanraya dengan cara yang tidak beretika.

Dalam lain perkataan ia adalah merupakan satu penipuan, sebagaimana yang dinyatakan oleh para pemikir politik seperti William H. Riker dalam bukunya The Political Manupulation atau Bernard Grofman dalam buku beliau Political Gerrymandering and the Courts serta lain-lain lagi.

Mereka yang terbabit baik secara langsung atau tidak dalam memberikan kuasa melakukan persempadan semula boleh dianggap sebagai telah melakukan penipuan. Dan mereka yang telah dipilih oleh pengundi untuk menjadi wakil rakyat parti yang disokong mereka tetapi akhirnya meninggalkan parti boleh dianggap telah menipu pengundi dan juga rakyat.

Agaknya bila mati kelak bagaimana mahu apakah yang mereka nak jawab dengan Tuhan. Tapi itu perkara lain. Namun sebut tentang mati ini, beberapa orang pensyarah IPT telah menyuarakan kemarahan mereka: “Kami bekerja keras untuk memastikan kemenangan PKR dalam pilihanraya umum ke-12. Sekarang kami seperti telah dikencingkan. Jadi jangan marah kalau kami golongan muda ini akan kencing di atas kubur mereka apabila mereka mati kelak’.

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.