Detik penentuan MCA semakin hampir

KUALA LUMPUR: Debaran dan teka-teki berhubung barisan kepimpinan baru MCA akan terjawab esok apabila pemilihan semula parti itu diadakan di sini.

Pilihan 2,378 anggota perwakilan pada pemilihan semula itu akan menentukan siapa yang akan menduduki barisan kepimpinan parti berkenaan.
Bagi anggota perwakilan, ini kali ketiga mereka membuat pemilihan sejak pemilihan MCA pada 18 Oktober 2008. Pada pemilihan kali kedua 10 Oktober tahun lalu, mereka membuat keputusan mengejutkan melalui tiga resolusi yang merintis jalan kepada pemilihan semula esok.

Pemilihan kali ini membabitkan 101 calon.

Kecuali bagi jawatan timbalan presiden, calon terpaksa berhempas pulas bagi menonjolkan diri masing-masing agar dipilih.

Pemilihan bagi jawatan presiden menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara penyandang jawatan Datuk Seri Ong Tee Keat, bekas Timbalan beliau, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, dan bekas Presiden, Tan Sri Ong Ka Ting.
Datuk Seri Kong Cho Ha dan Datuk Seri Liow Tiong Lai pula bertanding bagi jawatan kedua tertinggi, manakala 10 calon lagi berentap bagi merebut empat kerusi naib presiden.

Sebanyak 86 calon pula mencuba nasib untuk merebut jawatan sebagai anggota Jawatankuasa Pusat (CC).

Dengan tinggal sehari saja lagi sebelum pemilihan semula itu diadakan, calon kini berusaha habis-habisan melalui jentera kempen masing-masing untuk meraih sebanyak mungkin sokongan bagi menjamin hajat mereka tercapai.

Bagaimanapun, laluan yang terpaksa mereka tempuhi amat mencabar dan dipenuhi pelbagai pengalaman perit, termasuk tuduhan membeli undi.

Serangan peribadi juga turut dilancarkan, termasuk secara halus. Ini dapat dikesan apabila ada pihak meminta anggota perwakilan agar tidak memilih calon tertentu yang dianggap tidak memiliki imej yang bersih atau yang disifatkan sebagai "pemimpin kitar semula".

Bagaimanapun, persoalannya ialah adakah anggota perwakilan akan terpengaruh oleh semua propaganda itu atau manifesto yang disebarkan oleh calon yang bertanding?

"Secara peribadi, saya tidak berfikir begitu. Mereka bijak. Oleh kerana mereka sudah membuat keputusan siapa yang akan dipilih, maka masalahnya tidaklah begitu besar, walaupun senarai calon mungkin kelihatan begitu panjang," kata seorang anggota perwakilan dari Pagoh.

Beliau juga berpendapat pertandingan yang membabitkan banyak calon ini menunjukkan bahawa demokrasi masih subur dalam MCA.

"Apa tidaknya! Sesiapa saja yang berpendapat memiliki kemampuan, dia berhak dan berpeluang untuk berkhidmat untuk parti," katanya.

Bagaimanapun, bekas Setiausaha Agung MCA, Tan Sri Ting Chew Peh, membayangkan keadaan ini mungkin bukan sesuatu yang sihat apabila beliau berkata:

"Ramai sangat (yang bertanding bagi CC), hingga sesetengah mereka saya tidak kenalpun."

Sementara itu, Setiausaha Agung MCA, Datuk Wong Foon Meng, berkata persiapan bagi pemilihan semula itu hampir siap sepenuhnya.

Beliau berkata, keputusan pemilihan akan diketahui selewat-lewatnya menjelang 7 malam. - Bernama


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.