Isu Lompat Parti: Najib Cantas Muhyiddin

Oleh Rusnizam Mahat


Ketua-ketua Umno di peringkat bahagian cemas dengan taktik terbaru yang digunakan untuk mencantas pemimpin-pemimpin Umno yang dianggap tidak sehaluan dengan Perdana Menteri Najib Razak.

Dalam ucapannya sulungnya di parlimen selepas keluar daripada KEADILAN bulan lalu, Zahrain mengenal pasti sekurang-kurangnya empat ahli parlimen yang dikatakan telah bersetuju untuk membelot Umno dan menyertai Pakatan Rakyat menjelang 16 September tahun lalu.

Mereka termasuk Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan), Datuk Seri Anifah Aman (BN-Kimanis), Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan), Dr Mohd Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat) dan Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar (BN-Jerantut).

Tindakan Zahrain mengungkit insiden 16 September itu, lebih 18 bulan selepas ia berlalu, adalah dipercayai atas telunjuk Najib dan sebahagian daripada sifir politik menjelang pemilihan Umno yang akan datang.

Anihnya Zahrain membuat pendedahan itu, walaupun pimpinan tertinggi KEADILAN mengesahkan Zahrain tidak pernah diberi kepercayaan untuk menerima atau mengurus maklumat bersabit perancangan untuk menawan Putrajaya pada 16 September 2008.

Mengulas isu ini, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail berkata Zahrain digunakan sebagai jurucakap oleh pemimpin pro-Najib.

"Kenyataan Zahrain itu sudah tentu mempunyai agenda politik tersendiri. Saya tidak merasa Zahrain tahu bahawa beliau diminta memainkan peranan sebagai jurucakap kepada satu kelompok dalam Umno. Dia sendiri bahkan mungkin terpinga-pinga dan tidak mengetahui apakah implikasi atau kesan di sebalik dakwaan itu dan hanya menterjemahkan skrip yang telah disediakan kepadanya," ujar Azan.

"Jelas ada kepentingan agenda di dalam Umno apabila isu ini ditimbulkan. Sesiapa yang sensitif dalam gambaran ini lebih cepat dapat menghidu perkara ini," jelas Azan.

Beliau berkata, Zahrain bukan merupakan pimpinan yang terlibat dalam isu peralihan kuasa pada 16 September, bahkan langsung tidak mengetahui hal itu.

"Saya difahamkan oleh pimpinan tertinggi bahawa Zahrain tidak pernah terlibat langsung dalam peralihan kuasa pada 16 September. Nama-nama yang disebutnya bukan diperolehi daripada kita, tetapi adalah untuk tujuan politik dalaman Umno kelak.

"Zahrain menjadi tangan untuk menggenggam bara api dalam perang dingin antara pemimpin utamanya untuk menjatuhkan satu sama lain. Umno tidak mahu menggunakan tangan mereka sendiri" tegas Azan.

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.