Jamil Khir Semakin Celaru!

Islam Tidak Ajar Sembahyang Minta Bencana Kepada Sesama Umat - Jamil Khir

ALOR SETAR: Islam tidak mengajar umatnya bersembahyang hajat memohon kepada Allah supaya menurunkan bencana kepada golongan seagama dan hukumnya adalah berdosa, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

"Saya tidak mahu menggelar mereka golongan apa, tetapi mereka ini termasuk dalam orang-orang yang menyalahgunakan agama demi kepentingan politik.

"Perkara ini (sembahyang hajat memohon bencana) tidak diajar oleh Nabi Muhammad S.A.W. dan tidak sepatutnya berlaku," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Ahli Majlis Syura Ulama Pas, Ahmad Awang yang dilaporkan memberi tempoh tujuh hari kepada Mohsin Fadzli Samsuri untuk mengosongkan kerusinya ataupun menghadapi tindakan dikenakan solat hajat supaya dihukum oleh Allah, kerana dikatakan mengkhianati perjuangan parti.

Anggota Parlimen Bagan Serai itu keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) minggu lalu dan menjadi wakil rakyat bebas setelah dikatakan tidak bersetuju dengan pendirian PKR berhubung isu kalimah Allah.

"Hukum-hukum agama tidak boleh dibuat main-main sekalipun kita tidak dapat mengimbangi antara politik dan agama," kata Jamil Khir kepada pemberita selepas menutup kursus pengamatan nilai-nilai Islam di kalangan anggota polis, dekat sini.

Mengenai gejala sosial di kalangan umat Islam di negara ini yang semakin berleluasa, Jamil Khir berkata perkara seperti kelahiran bayi luar nikah, pembuangan anak dan penderaan berlaku akibat pergaulan bebas.

"Ia berjangkit dari budaya barat termasuk hubungan songsang lelaki dan perempuan. Ia berkembang dengan subur dan semakin dahsyat.

"Dalam soal ini masyarakat tidak boleh dipersalahkan kerana undang-undang yang adapun tidak dapat mengawal perlakuan sumbang golongan yang tidak kuat agama," katanya. - BERNAMA


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

1 comment

MANSOR JUNUS said...

Jamil Khir nampaknya sudah mula buat kesilapan politik. Di Kedah, sekiranya beliau ingin bertapak dalam PRU13, sebarang ulasan yang dibuat mestilah lebih cermat. Orang akan tepuk tangan kalau di N. Sembilan atau Johor. Tetapi di Kedah kalau salah ulas kenyataan2 yang menyentuh agama, sudah tentu beliau akan tempah penyakit.

Powered by Blogger.