Kahwin Bawah Umur Perlu Kebenaran

KOTA BAHARU: Masyarakat Islam di Kelantan yang ingin mengahwinkan pasangan bawah umur boleh meminta kebenaran atau pengecualian daripada kadi dengan memberi alasan yang munasabah, kata Ketua Hakim Syariah Negeri Kelantan Datuk Daud Mohamad.

Beliau berkata bahawa tanpa kebenaran itu, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali oleh Mahkamah Syariah berdasarkan peraturan Enakmen Keluarga Islam Negeri Kelantan (EKINK)2002.

Menurutnya peraturan mengenakan syarat umur pasangan itu dibuat bagi mengelak berlaku perceraian kerana pasangan yang berkahwin di bawah umur dianggap tidak matang.

Beliau diminta mengulas kontroversi seorang budak perempuan berusia 11 tahun dikahwinkan dengan lelaki berusia 40 tahun kerana didakwa mengamalkan ajaran mencurigakan di Kampung Jelawang, Kuala Krai, baru-baru ini.

Daud berkata Seksyen 8 EKINK 2002 tidak menyekat pasangan bawah umur untuk berkahwin tetapi dengan syarat mereka mendapat kebenaran bertulis daripada Pejabat Kadi atas alasan yang termasuk pasangan terbabit mempunyai tahap kesuburan dan kematangan yang cukup.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Negeri, Wan Ubaidah Wan Omar, pula berkata kerajaan negeri akan menyiasat perkahwinan pasangan di Kampung Jelawang itu. -BERNAMA

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.