Kenyataan Nik Aziz rendahkan mufti, kata Jamil Khir

ROMPIN, 8 Mac — Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata kenyataan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyifatkan mufti sebagai agen Umno adalah satu cubaan merendah-rendahkan golongan itu di negara ini.

Beliau berkata kenyataan itu membawa persepsi buruk yang boleh menjejaskan kredibiliti mufti di negara ini yang pelantikannya diperkenan Raja-Raja dan Sultan-Sultan Melayu.

“Kalau mufti bercakap sesuatu yang tidak memihak kepada parti pembangkang, mengapa mereka dituduh sebagai agen Umno?

“Apakah mufti tidak boleh bercakap soal politik, soal bangsa dan negara, atau perkara yang berkaitan perpaduan dan keutuhan ummah?,” katanya kepada selepas berjumpa dengan guru-guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) daerah Rompin, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Nik Aziz semalam yang dilapor menyifatkan Mufti Perak sebagai agen Umno kerana mempersoalkan keengganan Nik Aziz menerima cadangan pembentukan kerajaan perpaduan antara PAS dan Barisan Nasional (BN) Perak bagi mendapatkan sokongan orang Melayu.

Mengulas lanjut, Jamil Khir berkata pelantikan mufti adalah di bawah bidang kuasa Raja-Raja dan Sultan-Sultan Melayu, bukan Umno.

Bidang tugas mufti juga kata beliau membenarkan mereka berbicara soal berkaitan bangsa dan politik, selain soal agama tanpa mengira fahaman politik.

“Saya lihat kenyataan Mursyidul Am PAS itu sebagai satu persepsi yang tidak betul,” kata Jamil Khir.

Dalam kenyataannya semalam, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata sebagai mufti Tan Sri Harussani Zakaria seharusnya berpandangan Islam dan politik perlu selari dan bukannya mengeluarkan kenyataan mengikut pendapat Umno yang didakwanya memisahkan kedua-dua perkara itu. — Bernama

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.