MB, Exco lawat Sultan Ismail

KOTA BHARU - Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Exco Kerajaan Negeri Selasa lalu menghadap Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra di Istana Mahkota di sini.

Bagaimanapun, kesemua pimpinan negeri termasuk Menteri Besar bersikap ‘tutup mulut’ dan enggan mengulas lanjut mengenai pertemuan tersebut.

Ketika ditemui di pejabatnya semalam, Nik Aziz mengakui ada menghadap Sultan tetapi enggan mengulas lanjut termasuk tahap kesihatan baginda.

Sumber menyatakan pertemuan tersebut diadakan hampir sejam dan merupakan kali pertama diadakan selepas tuanku berangkat pulang ke tanah air dari Singapura 4 Mac lalu.

Difahamkan kesemua anggota Exco hadir kecuali Datuk Mohd Nik Amar Nik Abdullah dan Wan Ubaidah Omar bersama dalam pertemuan tersebut.

Kelmarin, Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid melahirkan perasaan sedih dan kecewa dengan sikap pemimpin negeri ini yang tidak melawat sultan semasa menerima rawatan di Singapura.

Bagaimanapun, Tengku Anis mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor serta barisan Kabinet yang sentiasa bertanyakan khabar baginda.

Sebelum ini, Tengku Temengong Kelantan, Tengku Muhammad Fakry Petra mendakwa Menteri Besar tidak menghadap sultan di Singapura walaupun dua kali dititahkan.

Dalam pada itu, rata-rata Exco Kerajaan Negeri yang dihubungi Sinar Harian enggan mengulas lanjut pertemuan tersebut dan menyerahkan kepada Menteri Besar untuk membuat kenyataan.SH


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.