Menantu "Sudin Ajaib" ditahan polis

KOTA BAHARU 24 Mac - Setelah hampir sebulan diburu, lelaki yang dilaporkan dinikahkan dengan anak perempuan Shamsuddin Che Deraman atau dikenali sebagai “Sudin Ajaib”, yang berumur 11 tahun, akhirnya ditahan polis semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, ACP Mazlan Lazim berkata, suspek berumur 33 tahun itu ditahan kira-kira 6.30 petang semalam di Stesen Keretapi Pasir Mas bagi membantu siasatan kesnya berkahwin dengan kanak-kanak bawah umur.

"Suspek ditahan reman selama tiga hari mulai hari ini untuk membantu siasatan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 31 (1), Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Baru-baru ini, Shamsuddin, 41, dipercayai menikahkan anak perempuannya yang berumur 11 tahun dengan sahabatnya yang dikenali sebagai “Azhar” di dalam sebuah kereta dan dia telah diminta menyerah diri kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) untuk siasatan.

Shamsuddin yang juga telah menikahi seorang kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun, Siti Nur Zubaidah Hussin, telah menghilangkan diri dan sedang diburu pihak berkuasa. - Bernama

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.