Mohsin: Saya akan jawab minggu depan

Ahli parlimen Bagan Serai Mohsin Fadzli Samsuri bersedia tampil ke hadapan bagi mendedahkan “perkara sebenar" yang berlaku dalam PKR sehingga mendorong beliau keluar parti dan menjadi wakil bebas.

“Saya sedia untuk ditemubual minggu hadapan,” katanya ringkas melalui satu SMS hari ini.

Mohsin berkata demikian ketika diminta mengulas usaha ahli Majlis Syura PAS Ahmad Awang yang mahu menganjurkan solat hajat supaya Allah menurunkan hukuman terhadapnya kerana didakwa khianat pada perjuangan.

Ketika dihubungi Malaysiakini melalui SMS, Mohsin menjawab, beliau akan berada di Kuala Lumpur bagi menghadiri sidang parlimen Isnin depan.

Pada masa itu, tambahnya, beliau bersedia menjelaskan “perkara sebenar” yang dimaksudkannya itu.

Pada 4 Februari - sehari selepas Mohsin meletakkan jawatan dalam PKR - Ahmad yang juga bekas naib presiden dan timbalan pesuruhjaya PAS Perak memberikan tempoh tujuh hari kepadanya supaya kembali kepada parti atau menjadi wakil bebas yang pro-Pakatan Rakyat.

Ahmad berkata, sekiranya tuntutan itu tidak dipenuhi, beliau akan menggerakkan ratusan pelajarnya daripada sebuah pusat pengajian agama di Semanggol dan penyokong PAS sekitar Bagan Serai bagi bersolat hajat selama tujuh malam.

Namun, selepas tarikh akhir yang diberikannya tamat semalam, Mohsin masih belum memenuhi tuntutan tersebut.

Selepas mengisytiharkan keluar parti pada 3 Februari, Mohsin hanya berdiam diri walaupun tindakannya dikritik hebat banyak pihak termasuk pemimpin kanan Pakatan.

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.