Penduduk Bandar Kulim Tolak Zulkifli

Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu mendapat kecaman daripada penduduk di kawasannya kerana keengganannya meletakkan jawatan. Ini mendatangkan rasa tidak puas hati kalangan rakyat yang selama ini memerlukan bantuan.

Tinjauan Sinar Harian mendapati kebanyakan individu ditemui meminta Ahli Parlimen itu meletakkan jawatannya dengan segera supaya mandat untuk memilih calon baru diberikan kepada rakyat.

Seorang pesara, Yusuf Hanafiah dari Kampung Ulu Mahang, Mahang berkata, sebelum ini Ahli Parlimen itu sememangnya gagal menjalankan tugas dengan baik mengakibatkan penduduk tidak berpuas hati dengan sikapnya.

“Saya berpendapat kemenangan yang diperolehnya sebelum ini bukanlah kerana dirinya tetapi kerana parti disertai. Kini Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah memecat keahliannya dan sudah sewajarnya beliau meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen kawasan ini,” katanya.

Seorang pengusaha kedai runcit, Mohd Soffi Jaafar dari Kampung Permatang Kerat Telunjuk, Bandar Baharu berpendapat, tiada sebarang perubahan yang dilakukan oleh Zulkifli sepanjang menjadi Ahli Parlimen kawasan itu.

Beliau tidak menafikan segala permasalahan timbul harus dirujuk kepada mana-mana Ahli Majlis, Majlis Daerah Bandar Baharu untuk tindakan lanjut termasuk apabila berlakunya bencana alam seperti banjir dan kebakaran.

“Kami sudah lama menolaknya sebagai Ahli Parlimen. Saya cadangkan lebih baik dia letak jawatan sahaja dan jangan buang masa berdrama kepada media. Kami tidak mahu melihat mukanya di Bandar Baharu lagi,” katanya.

Seorang peniaga, Tarmizi Majid dari Taman Kelisa, Lubuk Buntar berkata, sejak kemenangannya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 12, Ahli Parlimen itu jarang turun padang berjumpa dengan rakyat.

Menurutnya, sebelum ini ketika Bandar Baharu berhadapan dengan masalah banjir, dia tidak ada di kawasan.

“Kami sudah jemu dengan sikapnya, membiarkan permasalahan dialami rakyat begitu sahaja. Sekiranya inilah sikapnya terhadap rakyat, lebih baik dia meletakkan jawatan kerana banyak lagi pemimpin yang berkebolehan,” katanya.

Seorang pekebun, Abdul Rahim Abdullah dari Kampung Desa Teruna, Sedim berkata, dia tidak pernah berjumpa atau melihat Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu semenjak dia memenangi PRU 12.

“Saya pun sudah lupa macam mana rupanya kerana dulu kami hanya tengok menerusi poster pilihan raya sahaja. Saya berpendapat baiklah dia letak jawatan. Kalau kekal jawatan tapi tak buat kerja pun nak buat apa. Baik berikan kepada orang lain yang nak berkhidmat kepada masyarakat. Sama ada dia ada atau tidak, nasib kami tak berubah tetap macam ini juga,” katanya. -SH
Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.