PKR Dakwa BN Tiada Calon

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK

PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) didakwa kekeringan calon mesra rakyat serta gagal mengetengahkan calon yang mampu berkhidmat kepada masyarakat berbilang kaum di kawasan Parlimen Hulu Selangor.

Pengarah Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fuziah Salleh berkata, parti itu akan menggunakan kelebihan berkenaan untuk meraih sokongan pengundi di kawasan tersebut.

"Walau siapa jua calon yang diletakkan BN untuk mewakili mereka, ia merupakan satu kelebihan kepada PKR.

"BN tak ada calon yang benar-benar layak mewakili semua kaum di Hulu Selangor," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini hari ini.

Mengulas mengenai desas-desus kemungkinan BN akan meletakkan Timbalan Presiden MIC, Datuk G. Palavivel sebagai calon, Fuziah berkata tindakan itu akan menguntungkan PKR kerana rakyat menolak pemimpin yang bersikap perkauman.

"Kalau benar Palanivel diletakkan sebagai calon... ia memang akan untungkan kita.

"Malah kalau BN letakkan sesiapa pun daripada MIC pasti kita akan berasa cukup gembira," katanya.

Kerusi Parlimen Hulu Selangor kosong selepas kematian penyandangnya dari PKR, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad, Khamis lalu.

Palanivel kalah kepada Zainal Abidin dalam pilihan raya umum lepas dengan hanya majoriti tipis iaitu 198 undi.

Zainal Abidin mendapat 23,177, manakala Palanivel hanya 22,979 undi.

Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan berkata, BN perlu berhadapan dengan calon PKR yang lebih diterima oleh rakyat berbilang kaum.

Jelasnya PKR sebagai sebuah parti berbilang kaum amat memahami keperluan dan kehendak rakyat di Hulu Selangor tanpa mengira perbezaan kaum dan agama.

"PKR sangat bertuah kerana mempunyai calon-calon yang boleh berkhidmat kepada rakyat tanpa mengira kaum.

"Pemimpin kita sebelum ini menunjukkan rekod yang baik tanpa mengabaikan mana-mana kaum dalam kawasan mereka," katanya.

Diminta mengulas mengenai peluang PKR untuk mengekalkan kedudukan mereka di Hulu Selangor kerana senario politik selepas pilihan raya umum 2008 sudah berubah, Fuziah berkata PKR mempunyai strategi tertentu untuk mengulangi kejayaan mereka.

"Pilihan raya adalah perkara yang berterusan, kita mendekati rakyat setiap masa tanpa mengira waktu... insyaAllah peluang kita untuk menang cerah," katanya.

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.