Polis beri amaran terhadap pihak cuba ganggu keamanan di Terengganu

KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu hari ini memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan keadaan tidak aman di negeri itu.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Shukri Dahlan, berkata ianya termasuk mereka yang cuba mengadakan perhimpunan haram bagi menyerahkan memorandum berhubung royalti minyak kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, Sabtu ini.
"Saya ingin menasihatkan pihak-pihak berkenaan bahawa itu bukanlah tempat yang sesuai untuk menyerahkan memorandum atau mengemukakan bantahan kerana Yang di-Pertuan Agong berangkat ke Terengganu di atas urusan-urusan tertentu. "Saya tidak mahu mana-mana pihak cuba mengambil kesempatan di atas kehadiran Tuanku untuk melakukan sesuatu yang di luar program yang telah ditetapkan oleh pihak Istana," katanya di sini.

Beliau diminta mengulas mengenai rancangan dua Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) iaitu Majlis Pemuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) dan Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) untuk menghimpunkan kira-kira 10,000 orang bagi menyerahkan dua memorandum berhubung tuntutan royalti minyak kepada Tuanku Mizan di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Sabtu ini.

"Saya juga mencadangkan kepada forum untuk menyampaikan bantahan dan memorandum itu agar menggunakan saluran lain," kata beliau yang menambah pihaknya akan meningkatkan kawalan keselamatan di LTSM pada hari berkenaan.

Mengulas program ceramah dan dialog yang akan dianjurkan dua NGO itu di Terengganu Ekuestrian Resort esok, beliau berkata, sehingga kini pihaknya belum menerima permohonan permit daripada pihak berkenaan untuk berbuat demikian.
"Setakat ini saya tidak ada menerima sebarang permohonan permit. Kita akan ambil tindakan kepada mereka yang kita rasakan akan menimbulkan masalah keselamatan," katanya yang menasihatkan penganjur supaya tidak meneruskan program itu bagi mengelakkan tindakan undang-undang. - Bernama


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.