Sambutan Hari Keputeraan Sultan Kelantan 30 Mac

KOTA BAHARU 21 Mac - Sambutan Hari Keputeraan ke-60 Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra diteruskan dengan acara penganugerahan diadakan pada 30 Mac ini.

Pengelola Istana Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad berkata, penganugerahan itu akan diteruskan sempena sambutan tersebut tetapi acara perayaan tidak dijalankan dan ia digantikan dengan solat hajat dan doa selamat di semua masjid di negeri berkenaan.

"Penganugerahan akan diteruskan dan Pemangku Raja, Tuanku Tengku Muhammad Faris Petra Ismail Petra akan menentukan siapa yang berhak menerima anugerah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, selain acara penganugerahan, acara solat hajat dan majlis hari hol Almarhum Sultan Yahya Petra diadakan pada 25 Mac ini.

Sebelum ini, Datuk Wan Hashim Wan Daud yang mendakwa dirinya, Setiausaha Sulit Sultan Kelantan dalam satu kenyataan menyatakan bahawa Tuanku Ismail Petra menitahkan semua perayaan dan penganugerahan sempena Hari Keputeraan Baginda yang ke-60 pada 30 Mac ini tidak dilangsungkan.

Berikutan itu, Abdul Halim telah membuat laporan polis dua hari lepas kerana mempertikaikan kesahihan kenyataan dan pelantikan Wan Hashim kerana pelantikan itu tidak melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (SPN).

Akhbar hari ini melaporkan Wan Hashim mendakwa pelantikannya tidak tertakluk di bawah SPN kerana pelantikannya di bawah bidang kuasa Sultan Ismail Petra. - Bernama

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.