Sultan Kelantan pulang selepas rawatan 10 bulan di Singapura

TERKINI

Oleh Mohd Zuharman

KOTA BARU, 4 Mac – Selepas 10 bulan menjalani rawatan di Singapura, Sultan Kelantan Sultan Ismail Petra berangkat pulang tengah hari ini untuk menerima rawatan susulan di tanah air.

Sultan Kelantan tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa dekat sini dengan pesawat khas dari Singapura pada pukul 12.30 tengah hari dan disambut pimpinan kerajaan negeri dan persekutuan.

Baginda diiringi Raja Perempuan Tengku Anis Abdul Hamid bersama anakandanya Pemangku Raja Tengku Muhammad Faris Petra dan Tengku Temenggong Tengku Muhammad Fakhry.

Sultan Ismail Petra kemudiannya dibawa pulang ke Istana Mahkota, Kubang Kerian.

Bernama melaporkan, di pintu masuk istana, ratusan rakyat turut menyambut kepulangan baginda dan merentang beberapa kain pemidang mengalu-alukan keberangkatan pulang baginda.

Seluruh kepimpinan kerajaan negeri hadir termasuk semua exco dan wakil rakyat yang diketuai Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakub.

Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagaimanapun tidak hadir kerana berada di Hospital Universiti Sains Malaysia.

“Tok guru tak hadir, dia berada di hospital. Petang semalam dimasukkan ke wad Hospital Universiti Sains Kubang Kerian (HUSM),” kata Setiausaha Perhubungan PAS negeri Mohd Zaki Ibrahim semasa ditemui di lapangan terbang.

Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, Timbalan Menteri Kewangan Senator Datuk Dr Awang Adek Husien dan Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali.

Kira-kira 1,000 orang membanjiri pekarangan lapangan terbang Sultan Ismail Petra sejak pukul 10 pagi tadi bersama sepanduk yang menzahirkan taat setia kepada Tuanku Sultan.

The Malaysian Insider difahamkan oleh satu sumber bahawa kerajaan negeri dua hari lepas tidak menerima sebarang maklumat rasmi, sebaliknya maklumat berhubung perkara itu hanya dimaklumkan pagi ini.

Exco kerajaan negeri Datuk Mohd Amar Nik Abdullah ketika ditemui hanya dengan ringkas berkata “arahan secara rasmi dari pejabat pengelola Istana tak ada.”

Kelmarin Tengku Muhammad Fakhry Petra mengesahkan keberangkatan pulang Sultan Kelantan hari ini selepas menerima rawatan intensif di Singapura melalui sidang media di kediamannya.

Sultan Ismail Petra yang mengalami masalah jantung dimasukkan ke HUSM pada 14 Mei lalu.

Baginda kemudiannya dihantar ke Hospital Mount Elizabeth, Singapura 24 Mei lalu untuk menerima rawatan susulan.

Awal Januari lalu, Nik Aziz mengumumkan berdasarkan laporan enam panel perubatan yang dilantik kerajaan negeri, keadaan Sultan Ismail Petra adalah stabil untuk dibawa pulang bagi tujuan rawatan lanjut.

Laporan panel bertarikh 24 Dis lalu itu mengesyorkan Hospital Kuala Lumpur sebagai hospital paling sesuai kerana ia mempunyai tenaga pakar, ahli-ahli terapi dan peralatan yang mencukupi.

Terdahulu laporan Bernama menyebut, Sultan Kelantan yang ditemani Raja Perempuan Kelantan kelihatan sihat dan sentiasa tersenyum kepada para doktor dan kakitangan hospital itu yang menghantar baginda ke kenderaannya.

Sultan Ismail Petra, yang berpakaian baju lengan panjang dan seluar hitam dan berkerusi roda, dibawa ke Lapangan Terbang Changi dengan diiringi anggota polis trafik Singapura.

Turut menghantar baginda di lapangan terbang ialah Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, yang juga kerabat diraja Kelantan.

Baginda dimasukkan ke hospital itu pada 24 Mei lalu untuk mendapatkan rawatan susulan sakit jantung.

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.